Rabu, 18 September 2013

Kudeta Perak: Hukuman terlalu keras – Anwar

Oleh Mohd Arif Juhani


KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak hukuman dua tahun penjara yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi dalam insiden rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009.

ANWAR KAJANG

“Terlalu keras hukuman,” tegas Anwar dalam twitter.

Beliau mengulas keputusan hakim Norsalha Hamzah yang memutuskan semua peserta didenda RM5,000 dan penjara dua tahun mandatori.

Sementara itu, Naib Pengerusi KEADILAN Perak, Chang Lih Kang pula menyifatkan hukuman berkenaan mirip seperti yang berlaku di Mesir sekarang.

Katanya, hukuman itu hanya mendedahkan kebobrokan demokrasi di Malaysia apabila hak asasi rakyat ditutup dengan penjara manakala pemimpin korup terus kekal berkuasa.

“Hukuman itu juga langsung tidak mengikut prinsip kedaulatan undang-undang apatah lagi hakim yang mengadili pula lebih cenderung untuk menghukum Orang Kene Zalami(OKZ) berbanding mendidik, ini tidak ubah seperti di Mesir!

“Apatah lagi tidak ada penangguhan pelaksanaan dibenarkan walhal Mahkamah Sesyen sepatutnya membenarkan perkara itu dilaksanakan atas budi bicara untuk menghormati OKZ dan keluarganya,” ujar Adun Teja itu kepada Keadilan Daily.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya tangan ghaib yang mengatur hukuman itu sebagai amaran supaya rakyat lain tidak bangkit menyatakan kebenaran.

“Ini yang buat kita khuatir kerana mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat rakyat menuntut keadilan sudah bertukar menjadi gelanggang untuk tangan ghaib yang zalim menunjukkan keangkuhan mereka.

“Justeru, saya desak mahkamah segera membebaskan kesemua OKZ itu tanpa sebarang syarat kerana apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan prinsip perlembagaan yang membolehkan himpunan aman dibuat,” katanya.

Tambah Lih Kang lagi, Pakatan Rakyat Perak turut mengadakan kutipan dana untuk membantu OKZ membayar denda RM5,000 yang dikenakan selain program kebajikan untuk membantu keluarga mangsa tersebut.

Tiada ulasan: