Jumaat, 6 September 2013

Ku Li: Tangani rasuah, bukan hanya naik harga minyak

OLEH MD IZWAN

Kerajaan perlu tangani rasuah. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 September, 2013. Kerajaan perlu tangani rasuah. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 


















Tengku Razaleigh Hamzah membidas langkah Putrajaya menaikkan harga minyak, sebaliknya menggesa Datuk Seri Najib Razak menangani isu rasuah yang disifatkan lebih utama untuk mengatasi defisit fiskal negara.

Pemimpin veteran Umno tersebut berkata kesan rasuah adalah lebih buruk kerana ia juga melibatkan pengguna yang lebih terkena tempias.

"Kesan rasuah akan terkena kepada pengguna, wang akan mengalami kesan buruk.

 "Sepatutnya mereka yang rasuah perlu ditangani dahulu," katanya dalam sidang media di kediamannya di Langgak Golf hari ini.

"Rasuah adalah perkara utama kita hadapi," tambahnya.

Beliau juga mencabar semua menteri dan timbalan menteri, termasuk dirinya untuk mengisytiharkan aset supaya orang ramai boleh membuat penilaian.

"Menteri, bekas menteri termasuk saya, ayuh isytiharkan harta masing-masing," cabar beliau.

Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang menjelang 2020.

Tengku Razaleigh, yang juga bekas Menteri Kewangan, bagaimanapun, berkata langkah pemotongan subsidi tersebut walaupun dikritik hebat perlu dilaksanakan bagi mengelak masalah ekonomi yang lebih meruncing dihadapi kerajaan nanti.

"Berdasarkan laporan agensi penarafan kredit, kita dalam situasi tidak selesa.

"Saya berpendapat defisit fiskal yang dialami adalah dalam pelbagai aspek, saya rasa kerajaan sepatutnya berjaga-jaga," katanya.

Katanya, kerajaan tidak berterusan memberikan subsidi yang tinggi dan langkah rasionalisasi itu adalah tepat pada masanya ketika negara berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta hutang kerajaan yang meningkat.

"Anda tidak boleh bertahan dengan subsidi yang tinggi.

"Kerajaan tidak lagi mampu untuk menanggung kos subsidi ini, " katanya.

Namun, Tengku Razaleigh mencadangkan kerajaan mengkaji sama subsidi yang diberikan kepada pihak industri, gesaan sama yang dibuat oleh PKR baru-baru ini supaya kerajaan mengkaji subsidi korporat yang tinggi diperuntukkan kerajaan.

"Saya mahu lihat kerajaan fokus perhatian kepada subsidi dalam industri.

"Sesetengah industri menerima subsidi yang besar, khususnya seperti tarif elektrik," katanya.

Sejurus pengumuman Putrajaya pada Isnin lalu, orang ramai bergegas dan memenuhi stesen minyak serta meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap langkah kerajaan tersebut.

Bagaimanapun, langkah pemotongan subsidi tersebut mendapat sokongan pakar ekonomi yang menyifatkannya sebagai baik bagi menangani hutang kerajaan yang semakin meningkat.

Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, malah agensi penarafan global Fitch Ratings baru-baru ini juga meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif ekoran hutang negara meningkat kepada 53.3 peratus dalam KDNK pada penghujung tahun 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung tahun 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel dinaikkan ialah pada 2010, sebanyak 5 sen seliter

Tiada ulasan: