SINAR HARIAN

GEORGETOWN - Kos perubatan negara dijangka meningkat 10 peratus setiap tahun berikutan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD) ekoran kurangnya kesedaran rakyat berhubung gaya hidup sihat, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Sebagai contoh, katanya, masalah obesiti yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit menunjukkan peningkatan yang serius seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam baru-baru ini.
"Peningkatan itu akan menyebabkan ramai masuk hospital dan kos kita memang meningkat tiap-tiap tahun. Saya pun ada melawat banyak hospital dan saya dapati memang sesak...perlu tambahan katil dan sebagainya," kata Dr Hilmi kepada pemberita selepas melancarkan Projek Bebas Tembakau Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Prof Dr Adnan Hussein; Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (MySihat) Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf dan Pengarah Pusat Racun Negara, Prof Madya Dr Razak Lajis.

Dr Hilmi berkata, keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan perubatan di hospital dan klinik kerajaan yang semakin meningkat turut menyumbang kepada peningkatan kos perubatan selain kos pentadbiran, pengurusan dan pembangunan.

Justeru, beliau meminta kerajaan menyediakan peruntukan tambahan kepada kementerian berkenaan menerusi Bajet 2014 bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik yang berterusan kepada rakyat.

Sementara itu, Dr Hilmi menyambut baik usaha USM memerangi gejala merokok di kalangan pelajar dan kakitangan yang dilihat mampu membantu kerajaan mengurangkan jumlah kes penyakit tidak berjangkit.

Beliau berharap institusi pengajian tinggi lain dapat mengikut langkah USM dengan menganjurkan program serupa. - Bernama