Khamis, 5 September 2013

Konsert: Pemuda PAS akan jumpa Jakim

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan terima kasih kepada penganjur konsert Lamb of God yang membuat keputusan membatalkan penganjuran konsert tersebut.

Setiusahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, DPPM menganggap pembatalan itu dibuat hasil desakan dan bantahan orang ramai yang merasa sensitif dengan penganjuran program seperti ini.

Tambahnya, DPPM menyokong gesaan penganjur untuk mengadakan dialog dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung kekeliruan yang timbul ekoran dakwaan negatif Jakim dan orang ramai terhadap kumpulan tersebut.

DPPM, ujarnya percaya dialog dan pertemuan akan dapat menjernihkan keadaan di samping menambah kefahaman mengenai isu yang berlaku.

“DPPM akan bertemu dengan Jakim dalam masa terdekat untuk membincangkan mengenai garis panduan hiburan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada Harkahdaily.

Katanya, aApa yang diharapkan supaya Jakim tidak hanya respons atau bertindak pada konsert tertentu sahaja, sebaliknya meneliti setiap program hiburan yang akan dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, sebagai badan kerajaan yang menjaga urusan agama Islam, Jakim perlu menjadi pemantau, penyelidik, penasihat dan juga pencegah kepada mana-mana program yang mengundang kemungkaran yang dianjurkan dalam negara ini.

DPPM juga, kata beliau menasihatkan kepada mana-mana penganjur konsert atau program hiburan agar lebih berhati-hati dengan melihat kepada sensitiviti masyarakat khususnya umat Islam dinegara ini.

Selain itu, ujarnya DPPM berharap agar Jakim menangani isu penganjuran konsert dari luar negara yang semakin bercambah di Malaysia dengan lebih serius supaya setiap penganjurannya memenuhi tuntutan agama Islam dan budaya masyarakat Malaysia serta tidak membawa kerosakan kepada akidah dan akhlak masyarakat.

Tiada ulasan: