Ahad, 15 September 2013

Ko Youn nafi cadang Gerakan, MCA dan SUPP bergabung

THE MALAYSIAN INSIDER
 



Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn semalam menafikan beliau mengeluarkan kenyataan agar parti itu, MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bergabung.

Sebaliknya, kata Chang, beliau hanya mencadangkan supaya semua parti berkenaan dibubarkan bagi membolehkan kesemua ahlinya menyertai Barisan Nasional (BN), lapor Utusan Malaysia.

 "Saya tidak kata penggabungan MCA, Gerakan dan SUPP. Cadangan saya adalah untuk semua parti agar dibubarkan dan semua ahlinya masuk BN. Apabila parti itu dibubarkan, ia akan jadi BN dan parti untuk semua.

"Bagaimanapun selepas dua atau tiga bulan (selepas keluarkan kenyataan itu), ia sudah diubah menjadi isu bahawa Gerakan dan MCA serta SUPP akan bergabung. Apa yang saya kata, MCA, SUPP, Gerakan ataupun MIC kalau bergabung tak selesaikan masalah," katanya.

Chang menyatakan perkara itu pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan PGRM Negeri Terengganu ke-32 di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan PGRM Terengganu yang menang tanpa bertanding, Datuk Yap Kea Ping.

Beliau diminta mengulas kemajuan proses perbincangan ke arah penggabungan ketiga-tiga parti berkenaan yang dicadangkan oleh beliau sebelum ini.

Sebelum ini media melaporkan Chang mencadangkan agar ketiga-tiga parti orang Cina ini digabungkan. Namun selepas itu, pelbagai pihak menolaknya.

Presiden SUPP, Datuk Seri Peter Chin menegaskan pendirian betapa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak akan sama sekali bergabung dengan MCA dan Gerakan.

Beliau berkata hasrat untuk bergabung tidak menjadi kenyataan kerana parti itu dan MCA serta Gerakan memiliki pendirian politik berbeza.

"Ada beberapa halangan jika bergabung dengan MCA dan Gerakan. Mereka adalah parti Cina sementara kita adalah parti berbilang kaum," katanya.

Chang mempertahankan kenyataan asalnya bahawa sekiranya MCA bersetuju menggubal ideologi parti menjadi sebuah parti yang disertai rakyat berbilang kaum.

Julai lalu, akhbar melaporkan, berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Gerakan, MCA dan SUPP bercadang untuk bergabung sebagai sebuah parti berasaskan kepentingan kaum Cina.

Chang seterusnya berkata, Gerakan bukan parti Cina tetapi merupakan sebuah parti untuk rakyat Malaysia atau Parti Gerakan Rakyat Malaysia, sambil mempertahankan falsafah politik sebagai parti untuk semua tanpa mengira kaum atau keturunan.

Tiada ulasan: