Rohani Abdul Karim Rohani Abdul Karim

KUCHING - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kesal dengan tindakan seorang lelaki yang meninggalkan seorang kanak-kanak di kaunter Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kinta, Perak Khamis lepas.

Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata pihaknya terkilan dengan tindakan lelaki berkenaan yang dipercayai bapa atau penjaga kepada kanak-kanak lelaki berumur empat tahun itu.

"Kita terkejut dengan tindakan lelaki yang dipercayai bapa kanak-kanak berkenaan. Nasib baik kebanyakan Pejabat JKM mempunyai rakaman kamera litar tertutup (untuk mengesan kes seumpama itu).

"Bagaimanapun kita bersyukur kerana sekurang-kurangnya lelaki itu masih mempunyai pertimbangan dengan menghantar kanak-kanak itu ke tempat yang betul, bukan membuangnya," katanya kepada pemberita di Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri dan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Borneo Convention Centre Kuching di sini.

Dilaporkan, melalui rakaman CCTV di Pejabat JKM Daerah Kinta itu, seorang lelaki kelihatan meninggalkan seorang kanak-kanak kira-kira 9.02 pagi, untuk menjawab panggilan telefon dan tidak muncul-muncul selepas itu.

Kanak-kanak itu yang membahaskan dirinya sebagai Abang Saiful kini ditempatkan di institusi perlindungan kanak-kanak di Kuala Kangsar untuk perlindungan sementara sebelum warisnya ditemui. - Bernama