Isnin, 23 September 2013

Kerajaan Tubuh Badan Siasatan Dalaman PDRM Siasat Salah Laku Polis




KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan sebuah badan penyiasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau salah anggota polis. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, badan itu tidak akan melibatkan pegawai-pegawai PDRM tetapi akan dianggotai oleh golongan profesional termasuk peguam.

"Kabinet telah memutuskan sebuah badan penyiasatan dalaman PDRM sedang dilakukan bukan melibatkan pegawai-pegawai PDRM tetapi ahli-ahli profesional dari luar termasuk para peguam untuk menganggotai badan ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Isnin.

Guan Eng meminta supaya proses yang diambil PDRM harus dirombak dan IPCMC ditubuhkan supaya hanya anggota polis yang profesional dikekalkan dan bukan mereka yang terlibat dengan salah laku dan penyalahgunaan kuasa

Ahmad Zahid turut menegaskan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukanlah jawapan muktamad untuk menangani masalah itu.

"Mengenai proses untuk melakukan rombakan, saya fikir IPCMC bukanlah jawapan muktamad. Kita mempunyai beberapa langkah, " katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyangkal kenyataan Guan Eng yang mendakwa kononnya negeri Pulau Pinang masih mempunyai 600 kekosongan jawatan anggota polis.

"Dakwaan itu tidak tepat. Dari segi penjawatan di Pulau Pinang, jumlah penjawatan bagi pegawai beruniform adalah seramai 5,650 jawatan.

"Daripada jumlah itu, seramai 5,616 jawatan telah diisi...kekosongan hanya 31 jawatan bukannya 600," katanya.

Mengenai Ops Cantas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lalu, Ahmad Zahid berkata kira-kira 7,200 individu disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap telah ditahan.

"Kesan daripada operasi itu menunjukkan penurunan ketara terutamanya kes bunuh," katanya.

Tiada ulasan: