Penerima anugerah Sasterawan Negara 2013 Datuk Baha Zain mengatakan tidak wajar bagi kerajaan untuk menarik balik anugerah Sasterawan Negara yang dimiliki oleh Datuk A. Samad Said (gambar).
Menurut Baha, ini adalah kerana sumbangan yang dilakukan oleh Samad terhadap dunia kesusasteraan amat besar bagi negara.
"Kerajaan tidak bodoh untuk menarik gelaran itu balik, ini kerana gelaran yang diterima berdasarkan sumbangannya dulu tidak ada kena-mengena dengan tindakannya sekarang, ia tidak boleh disamakan," kata Baha apabila dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.
Akan tetapi bekas Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata, memegang gelaran Sasterawan Negara tidak bermaksud tokoh itu kebal dari segi undang-undang.
“Bagaimanapun saya tidak berapa jelas dengan apa yang berlaku pada Samad ini. Namun sekiranya beliau berkata tidak bersalah, maka tidak harus dihukum sebegitu. Apa-apa pun biarlah mahkamah yang tentukan dan saya harap beliau juga tidak perlu takut sekiranya tidak melakukan seperti apa didakwa,” katanya.
Baha berkata demikian mengulas mengenai komen Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengatakan gelaran tertinggi sastera itu boleh ditarik balik daripada Samad.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) dilaporkan menuntut tindakan tegas dikenakan ke atas individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya.
Menurut Perkasa, individu berkenaan tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana perbuatan itu didakwa menghina bangsa dan negara.
Samad dalam reaksinya juga berhubung desakan itu berkata tidak takut sekiranya kerajaan memenuhi tuntutan kumpulan pendesak agar gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya pada 1985.
Ini termasuk sekiranya,kewarganegaraannya juga dilucutkan.
"Soal tarik balik anugerah Sasterawan Negara itu sangat bapak alu-alukan. Teruskanlah.
"Malah kalau ingin tarik balik warga negara saya pun, saya alu-alukan,” kata Samad seperti dilaporkan media.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan