Ahad, 15 September 2013

Kerajaan Pusat perlu tegas bantah kekejaman di Mesir, Syria


eli-dewan

SHAH ALAM, : Kerajaan Malaysia digesa supaya menyatakan pendirian tegas untuk membantah kezaliman yang berlaku di Mesir dan Syria hingga mengorbankan ribuan nyawa.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, meskipun Malaysia terkenal sebagai negara yang sering tampil dengan misi bantuan kemanusiaan, namun pemimpinnya kekal berdiam diri daripada membincangkan masalah ini di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya memainkan peranan proaktif dan konstruktif di peringkat antarabangsa seperti dalam gabungan negara-negara Islam (OIC) dan ASEAN untuk menghentikan konflik dan keganasan ini.

“Kerajaan Pusat setakat ini tidak nampak tegas khasnya apabila Malaysia menyatakan mereka adalah pemimpin di dunia dalam negara Islam.

“Saya ingin menekankan bahawa Kerajaan Malaysia perlu menyuarakan pendapat mereka tentang keganasan yang sedang berlaku di Syria dan Mesir dengan membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa.

“Perkara ini perlu ditangani secara cepat, tegas dan diplomatik,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacanan Solidariti Wanita bersama Mesir dan Syria di Dewan Jubli Perak, di sini pagi tadi.

Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri juga memainkan peranan aktif dalam membantu negara-negara yang terlibat dengan krisis kemanusiaan dengan menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk solidariti.

“Kita pernah hantar bantuan kepada warga Palestin dan pelarian Rohingya di Selangor sebelum ini.
“Kita akan mencari jalan bagaimana kita dapat membantu rakyat yang sedang sengsara di Mesir dan Syria,” katanya lagi.

Wacana yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu dianjurkan oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dengan kerjasama Pertubuhan Belia Gema Malaysia (Gema), Ikram Siswa, Muslimah Interest Zone and Networking Association (Mizan) dan Pertubuhan Mawaddah Malaysia.

Ia bertujuan menzahirkan kebersamaan dan solidariti terhadap rakyat Syria dan Mesir khususnya kepada kaum wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman dalam tragedi berdarah itu

Tiada ulasan: