Sabtu, 14 September 2013

Kerajaan PR Selangor telus, benar akses maklumat negeri

rajiv 2 


PETALING JAYA,: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor sekali lagi selangkah ke hadapan dalam mengutamakan kepentingan rakyat dengan mewujudkan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) yang membenarkan dokumen sulit diakses untuk penelitian dan pengetahuan umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran hari ini membuat permohonan untuk mendapatkan maklumat berdasarkan FOI di pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai ujian pertama bagi memastikan ketelusan badan kerajaan itu menguruskan hal ehwal setempat.

“Dengan hanya mengisi borang dua muka surat dan wang berjumlah RM12, sesiapa saja orang awam di Selangor boleh memohon mendapatkan maklumat.

“Permohonan saya ini akan menjadi ujiannya, saya meminta MBPJ memberikan maklumat berhubung pembangunan di Seksyen 13, Petaling Jaya yang boleh menjejaskan penduduk sekitar,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan borang permohonan kepada Timbalan Setiausaha MBPJ, Ahmat Mohaayen Said.

Menurut Rajiv, Seksyen 13 pada asalnya dijadualkan sebagai kawasan kilang namun kemudian bertukar kepada pembangunan komersial.

Demikian itu, Rajiv berkata, selaku warga Selangor yang prihatin, beliau mahu mengetahui masih adakah pembangunan yang sedang menunggu kelulusan MBPJ kerana ia boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas kepada penduduk sekitar.

Penyerahan dan permohonan Rajiv ini merupakan kali pertama dibuat setelah FOI diluluskan kerajaan PR Selangor pada April 2011.

“Saya berharap melalui permohonan mengikut FOI ini ia akan membawa kepada satu budaya penzahiran akses maklumat di mana organisasi MBPJ dan badan serta agensi kerajaan negeri lebih berhati-hati dengan kerja yang dilakukan.

“Melalui FOI, saya juga berharap tidak ada lagi tipu muslihat dan beroperasi lebih telus serta bertanggungjawab,” ujarnya.

 rajiv

Beliau turut menggalak rakyat Selangor membuat permohonan sama agar dapat mengetahui butir-butir perbelanjaan negeri seperti kos pembinaan pembangunan, kawasan yang dijadual dinaiktaraf dan mengkaji minit mesyuarat majlis.

Mengikut FOI, 41 pegawai penerangan yang ditetapkan di 12 majlis bandar serta sembilan pejabat daerah dan jabatan kerajaan akan memberi jawapan kepada permohonan dalam tempoh 30 hari.

Bagaimanapun, pejabat negeri masih boleh menyekat pengeluaran beberapa maklumat dengan mengklasifikasikannya mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 walaupun ia mendapat tentangan pelbagai pihak supaya dimansuhkan.

“Dengan FOI, budi bicara MBPJ untuk memakai OSA kepada semua dokumen diharap akan terhenti pada masa akan datang,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya permohonan ditolak dan rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan itu, rayuan boleh dikemukakan kepada Badan Maklumat Negeri dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan keputusan.

Selepas Selangor, Kerajaan PR Pulau Pinang adalah negeri kedua yang meluluskan undang-undang FOI di Malaysia. -Roketkini.com

Tiada ulasan: