Ahad, 1 September 2013

Kementerian arah lukisan kontroversi ditarik balik


dikemaskini  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengarahkan sebuah lukisan kontroversi yang dipamerkan dalam satu pameran seni lukis 'M50 Selamat Hari Malaysia' di ibunegara, ditarik balik kerana didakwa menghina agama.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata setiap pameran yang hendak diadakan semestinya melalui satu jawatankuasa yang terdiri daripada Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang di bawah kementeriannya.

"Dalam soal (karya seni) itu, ia tak ditunjukkan kepada jawatankuasa, tak melalui jawatankuasa, jadi (apabila) benda itu masuk (dalam pameran), orang yang bertanggungjawab itu tidak jujurlah.

"Apabila item itu dipamerkan, kita dapati ia 'offensive'.

"Jadi kita telah mengarahkan ia digugurkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-50 Muzium Negara.

Menurutnya penganjur pameran itu masih dibenarkan untuk meneruskan aktiviti tu sehingga tarikh akhir sebaik lukisan kontroversi itu ditarik balik.

Kelmarin polis mengambil sebuah karya Anurendra Jegadeve yang dipamerkan dalam pameran M50 Selamat Hari Malaysia untuk siasatan terhadap dakwaan menghina agama.

'I is for Idiot' sebahagian daripada siri karya 'ABC For The Middle-Age Middle Classes' (ABC untuk kelas menengah Zaman Pertengahan), diambil daripada Publika Mall, tempat ia dipamerkan.

Difahamkan laporan polis dibuat terhadap 'I is for Idiot' atas dakwaan menghina Islam, antaranya berhubung tulisan bissmillah dalam bahasa Arab.

Semalam Anurendra menjelaskan bahawa karya seni 'I is for Idiot' itu sebenarnya merujuk kepada peristiwa serangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq semasa pentadbiran Presiden George W Bush.

Justeru, kata Anurendra, beliau tidak berniat menghina Islam tetapi menunjukkan pendirian berbeza sebagai kebersamaan dengan "warga jalanan Iraq", yang kebanyakannya orang Islam.

Beliau juga menjelaskan ayat al-Quran yang digunakan sebagai mewakili rakyat Iraq. Ia juga diterbalikkan bagi menggambarkan keadaan dunia ketika itu.

"Perkara ini dilakukan, dengan niat, untuk menggambarkan keadaan dalam sejarah dunia apabila semuanya dilihat secara terbalik," katanya.

Tiada ulasan: