Jawatankuasa Penyelaras Program Tinjauan Hak Tanah Adat Negeri (NCR) bagi Sabah telah dibentuk bagi mempercepat usaha menyeleasikan tuntutan tanah orang asal negeri ini.

NONEMesyuarat pertamanya dipengerusikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili (kanan) semalam, sejajar dengan keputusan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Sabah dan Sarawak (JTBSS) dalam bulan Jun supaya jawatankuasa itu ditubuhkan masing-masing di Sabah dan Sarawak.

JTBSS, yang dipengerusikan bersama oleh Ongkili dan Menteri Industri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas, melaporkan kepada Jawatankuasa Kabinet mengenai kaum minoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Jawatankuasa itu dibentuk khusus bagi menyelaras pelaksanaan tinjauan tanah bagi pengeluaran geran komunal serta mengkaji dana yang diperlukan bagi tujuan itu.

"Geran komunal merupakan satu daripada pendekatan dilaksana di Sabah bagi menyelesaikan isu tuntutan tanah adat negeri," kata Ongkili dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu semalam. - Bernama