Sabtu, 7 September 2013

Integriti pudar punca rasuah berleluasa

Muhammad Faizal,




SUBANG JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu melahirkan kerisauan terhadap soal integriti dan juga etika dalam sistem pentadbiran di negara ini yang secara jelas jauh tersasar.

Katanya, soal integriti tidak lagi dipandang serius oleh pihak pentadbiran khususnya pemerintah dan juga parti-parti politik yang ada sekarang.

"Apabila nilai integriti dan etika tidak dapat dipupuk serta dijadikan amalan, maka gelaja rasuah serta penyelewengan terus berleluasa tanpa ada perasaan bersalah ataupun bertanggungjawab.

"Ini yang berlaku, nilai ini telah hilang dan kita dapat lihat isu rasuah mahupun penyelewengan terus meningkat tanpa dapat dibendung walaupun penguatkuasaan undang-undang dilakukan," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup Forum Pengukuhan Integriti Politik 'Pemantapan Integriti Politik Negara : Isu dan Cabaran' anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat hari ini.

Beliau juga turut menggesa agar setiap pihak dapat mengembalikan nilai-nilai ini, kerana baginya kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara itu bergantung kepada nilai-nilai tersebut.

"Saya akan berbesar hati dan gembira kerana dijemput dalam forum ini, walaupun IIM merupakan salah satu badan dari pihak kerajaan tapi bila bercakap soal integriti ia menjadi tanggungjawab semua.

"Perbezaan pendapat itu adalah ideologi politik tetapi tanggungjawab serta etika yang berintegriti dalam pentadbiran, sikap bertanggungjawab adalah hak semua yang ada tanpa mengira fahaman politik," sambung beliau.

Turut hadir sebagai ahli panel adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Zakaria Jafaar, Pengarah Latihan PKR, Mustafa Kamil Ayub, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan juga Timbalan Dekan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)n, Prof Madya Dr Shaharussin Badaruddin.

Manakala moderatornya Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Bagi pihak IIM pula ia diwakili oleh Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia, Dr Abu Bakar Sarpon.

Tiada ulasan: