BATU PAHAT – Pengusaha bas seluruh negara diminta berunding dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), sebelum menaikkan tambang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, menasihatkan pengusaha bas agar tidak memberi pelbagai asalan untuk menaikkan caj.

Tegasnya, operator bas perlu patuh dengan peraturan dikuatkuasakan SPAD kerana suruhanjaya itu sedaya upaya menjaga kesejahteraan pengguna dan pengusaha.

“Sekiranya mereka (pengusaha bas) masih berdegil dan menaikkan tambang tanpa persetujuan SPAD, pengguna wajib melaporkan perkara ini kepada SPAD atau pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil.

“Kalau tiada subsidi, mungkin ada asas untuk menaikkan tambang, tetapi mereka telah dibekalkan subsidi. (Oleh itu) pengusaha tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan harga tambang,” katanya, semalam.

Ab Aziz berkata, melalui beberapa aduan diterima, pengusaha tidak menaikkan tambang, tetapi menaikkan surcaj perkhidmatan terbabit.

Katanya, surcaj berkenaan hanya digunakan semasa Aidilfitri lalu, tetapi ada yang mengambil kesempatan menggunakannya sehingga ke hari ini.

“Kita memandang serius masalah membabitkan pengangkutan awam. Jika kenaikan berlaku, ia mengganggu kesejahteraan rakyat.