Sabtu, 7 September 2013

Faekah calon CEO MBI?

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


















Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Menteri Besar Incorporated (MBI), lapor lama web akhbar The Star.

Memetik laporan sumber, akhbar berkenaan berkata ianya bakal dilaksanakan dalam penstrukturan semula syarikat berkenaan.

Syarikat milik kerajaan itu kini dipercayai tidak mempunyai CEO, dengan urusan pentadbiran dijalankan oleh Pengurusnya,  Rohani Talib.

Rohani juga dikatakan telah diberi sambungan kontrak selama tiga tahun, sama ada kekal dengan jawatan berkenaan atau dinaikkan pangkat kepada Ketua Pegawai Operasi (COO).

Faekah selama ini dipercayai terlibat secara langsung dalam urusan berkaitan air antara kerajaan negeri dan juga Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Beliau telah berkhidmat bersama dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) sejak 2010, dan mengetahui selok belok pengurusan syarikat berkenaan.

Sumber berkenaan, jelas The Star, berkata penstrukturan industri air adalah sangat penting buat Selangor, dan MBI melalui Faekah bakal memainkan peranan penting dalam urusan rundingan untuk mengambil alih daripada syarikat konsesi.

Spekulasi berkenaan dikukuhkan dengan pelantikan dua setiausaha politik untuk membantu Khalid.

Mereka adalah Mustapa Mohd Talib, yang dipertanggungjaeab dalam urusan khas dan Azman Bidin yang akan membantu urusan Khalid di kerusi Bandar Tun Razak dan juga Pelabuhan Klang.

Faekah bagaimanapun berkata beliau belum menerima tawaran tersebut, namun mengesahkan terlibat dalam urusan rundingan berkaitan air.

"Ada kebenarannya. Mungkin 20 hingga 30 peratus," katanya merujuk kepada perbincangan.

Tiada ulasan: