GEORGETOWN - Empat lelaki didakwa dengan 67 pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan gagal memberi keterangan mengenai pelbagai jenis barangan yang disyaki barang curi.

Tiga beradik dan seorang rakan mereka dihadapkan ke dua mahkamah sesyen dan dua mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus setiap pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut  tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen 1, Mohammad Firdaus Samsuri, 25, Mohammad Fairuz Samsuri, 27, Mohamed Yaser Yacobpu Ghani, 21, dan seorang remaja bawah umur berusia 20, didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas warga emas berusia 69 dan tiga  telefon bimbit dan wang tunai RM1,000 miliki dua warga asing.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu, di Lorong Sungai Dua Gelugor, kira-kira jam 2 pagi hingga 3 pagi, 4 Ogos lalu.

Untuk ketiga pertuduhan itu, Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membenarkan kesemuanya diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Dalam mahkamah yang sama, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur didakwa melakukan kesalahan yang sama ke atas seorang warga asing dan merompak sebuah telefon bimbit jenama Nokia dan wang tunai RM500 di Taman Bukit Jambul, di sini, kira-kira jam 2 pagi, 31 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Khairul Anuar membenarkan  Mohamed Yaser dan remaja bawah umur, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Mohammad Fairuz, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur didakwa bersama-sama dengan seorang rakan masih bebas atas  tiga pertuduhan  lain bagi kesalahan yang sama.

Mereka didakwa merompak empat telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM570, enam keping kad top up, dua salinan passport serta dua  kad ATM Maybank, milik tiga warganegara Nepal di Jalan Gudwara, kira-kira 11 malam, 5 Ogos lalu.

Sejurus pengakuan tidak bersalah dari ketiga lelaki itu, Khairul Anuar membenarkan mereka diikat jamin  RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga  pertuduhan itu.

Kemudian, beliau menetapkan 9 Oktober untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurdeenie Abdul Rashid, mengemukakan semua pertuduhan itu mengikut  Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen 2, Mohammad Firdaus, Mohammad Fairuz, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur didakwa bersama merompak wang tunai RM50 miliki Rianah, Lorong Sungai Dua kira-kira jam 2 pagi hingga 3 pagi, 4 Ogos lalu.

Dua pertuduhan lain ialah melakukan rompakan ke atas dua warga asing termasuk empat telefon bimbit pelbagai jenama dan satu komputer riba di Jalan Osman Kadir Lit, kira-kira 11.40 malam, 17 Ogos lalu.

Mohammad Fairuz Samsuri, Mohamed Yaser dan remaja bawah umur bersama seorang rakan yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan ke atas tiga warga asing termasuk tiga telefon bimbit pelbagai jenama, seutas jam tangan dan wang tunai RM830.

Ketiga-tiga pertuduhan itu, didakwa dilakukan dimasa, tempat dan tarikh yang sama, iaitu di Lebuh Sandilans, kira-kira jam 10.30 malam, 17 Ogos lalu.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Tarikh sebutan semula kes ialah 25 Oktober ini. Kes dikendalikan DPP Mohd Faisal Md Noor.

Selepas itu,  Mohammad Firdaus dan remaja bawah umar didakwa atas 18 pertuduhan atas tuduhan gagal memberi keterangan mengenai pelbagai jenis barangan yang disyaki barang curi di Mahkamah Majistret 2.

DPP Edward Chan Wei Heng mengemukakan setiap pertuduhan  itu mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan.

Sejurus menerima pengakuan tidak bersalah Mohammad Firdaus dan remaja bawah umur, Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha membenarkan mereka diikat jamin masing-masing, RM1,000 dengan seorang penjamin untuk setiap satu pertuduhan yang dihadapi dan sebutan semula pada 25 Oktober.
Kemudian, Mohammad Firdaus dan remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret 1, bagi 36 pertuduhan atas kesalahan gagal memberi penjelasan tentang pelbagai jenis barangan yang disyaki barang curi.

Bagaimanapun, dua beradik itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Majistret Umma Devi Logananthan.

Terdahulu, Umma Devi membenarkan 12 pertuduhan yang dihadapi oleh dua beradik masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala baki 24 pertuduhan dibenarkan masing-masing diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 24 Oktober untuk sebutan semula kes.

36 pertuduhan itu, dikendalikan oleh DPP Nurakmal Farhan Aziz mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM1,000, jika sabit kesalahan.