Jumaat, 20 September 2013

DAP: Agenda MEB tonjol wajah sebenar Najib


MALAYSIA KINI


 Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan wajah sebenar melalui pengumuman agenda Memperkasa Ekonomi Bumiputera (MEB) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendakwa Najib juga membelakangkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) apabila mengalihkan tumpuan agenda tersebut kepada rancangan yang dipacu kerajaan menerusi pengenalan MEB.

Pua berkata demikian dengan membangkitkan dasar kerajaan untuk memastikan penglibatan bumiputera dalam projek mega GLC – Menara Warisan (oleh Permodalan Nasional Berhad), Bukit Bintang City Centre (UDA), dan pembangunan tanah Institut Penyelidikan Getah Malaysia (oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia kini tidak ragu-ragu lagi bahawa polisi "1Malaysia" Najib adalah sia-sia dan tidak lebih daripada usaha memancing undi sewaktu pilihan raya.

MEB yang diumumkan Najib minggu lalu menggariskan lima strategi utama sebagai kelangsungan pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Sesetengah pemerhati melihat usaha tersebut sebagai ganjaran kepada sebahagian pengundi Melayu yang kembali menyokong BN dan satu bentuk hukuman kepada pengundi Cina yang majoritinya menolak BN dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut Pua, Najib juga menunjukkan sisi pelampaunya apabila menyokong penerbitan Utusan Malaysia dengan menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar membeli iklan dalam akhbar itu.

Najib juga menyalahgunakan kuasa dan mendukung pembohongan akhbar itu apabila menyeru wang pembayar cukai digunakan bagi menyelamatkan Utusan, katanya lagi.

"Seruan untuk menyelamatkan Utusan Malaysia adalah petanda jelas kenapa perdana menteri tidak berbuat apa-apa untuk mengelakkan ekstremisme daripada terus bernanah.

"Ia menjelaskan yang Datuk Seri Najib sendiri menyokong kecenderungan pelampau ini, yang telah sekian lama diterajui Utusan Malaysia, satu penerbitan yang dimiliki Umno," kata Pua dalam kenyataan medianya hari ini.

Tiada ulasan: