Ahad, 22 September 2013

Buku kaitkan DAP dengan 13 Mei diedar, kata saksi Tribunal Rakyat

OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Calon DAP dakwa risalah perkauman membanjiri kampung. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 22 September, 2013.Calon DAP dakwa risalah perkauman membanjiri kampung. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,






















Buku kecil berunsur perkauman yang mengaitkan DAP dengan tragedi berdarah 13 Mei didakwa diedarkan di kawasan perkampungan di Labis, Johor ketika Pilihan Raya 2013 lalu, Tribunal Rakyat diberitahu hari ini.
Calon DAP bagi kerusi Parlimen Labis, S. Ramakrishnan dalam keterangan yang diberikan ketika tribunal berlangsung berkata buku berkenaan diedarkan dengan perkataan perkauman yang menunjukkan seolah-olah DAP sebuah parti perkauman.

"Ada buku kecil yang diedarkan ke kawasan kampung yang berniat jahat mengaitkan 13 Mei dengan DAP," kata Ramakrishnan kepada panel Tribunal Rakyat.

 Salah seorang panel, Dr Mavis Puthucheary bagaimanapun berkata meskipun wujud perkara demikian, persoalannya mereka tidak tahu siapa yang bertanggungjawab.

"Kita tak tahu siapa yang buat. Memang ia melanggar peraturan pilihan raya, tapi siapa kita nak salahkan?" soalnya.

Parlimen Labis dimenangi oleh calon Barisan Nasional Datuk Chua Tee Yong apabila berjaya menewaskan Ramakrishnan.

Tribunal yang bermula 18 September lalu turut menampilkan pakar undang-undang Perlembagaan dan Ketua Penasihat Perlembagaan Unit Khas Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nepal, Yash Pal Ghai sebagai pengerusi.

Selain itu, panel antarabangsa yang turut terbabit iaitu bekas Timbalan Pengerusi Komite Pemilihan Umum Indonesia, Ramlan Surbakti, dan Presiden Kaukus Antara Parlimen Asean Myanmar, Kraisak Choonhavan

Wakil Malaysia dalam Tribunal Bersih ialah bekas pegawai diplomatik dan pentadbiran Kementerian Luar Malaysia, Datuk Azzat Kamaludin; bekas pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mavis Puthucheary; dan Rev Dr Hermen Shastri, Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia.

Tiada ulasan: