KUALA
LUMPUR: Kenyataan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan
(ROS), Datuk Abdul Rahman Othman yang disiarkan The Star pada 26 Julai
lalu yang mengingatkan ahli DAP agar tidak menaruh “harapan palsu” untuk
membentuk parti baru jika pendaftaran DAP dibatalkan membuktikan selama
ini beliau bertindak mengikut skrip skuad DDD UMNO/BN untuk memusnahkan
DAP.
Ketua Pembangkang DAP, Lim Kit Siang, berkata kenyataan
Abdul Rahman itu membuatkan pemimpin dan ahli DAP tercengang kerana soal
penubuhan parti baru tidak pernah dibangkitkan atau diperkatakan
sesiapa dalam DAP kerana tidak ada sebab yang mewajarkan pembatalan
pendaftaran DAP.
Beliau berkata, tiga dakwaan telah dikemukakan menerusi
kempen skuad “DDD” (Demolish/Destroy DAP) UMNO/BN dalam tujuh bulan
tahun ini untuk mempertikaikan kesahihan pemilihan Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres DAP di Pulau Pinang Disember
tahun lalu, namun tiada satu pun dakwaan itu dapat dibuktikan, termasuk
menerusi penerbitan risalah misteri yang memfitnah DAP dan memuatkan 100
pembohongan berkenaan parti itu.
“Walaupun risalah penuh pembohongan itu telah ditulis oleh
penulis hantu bernama “Father Augustus
Chen”, ia diedarkan ke seluruh
negara dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina, dan
Tamil, dan diberi publisiti meluas oleh media cetak, radio, dan
televisyen kawalan UMNO/BN walaupun diterbitkan secara haram tanpa nama
pencetak atau penerbit.
“Dakwaan pertama dibuat mengenai penipuan dalam pemilihan
yang diakibatkan oleh “gangguan komputer” tidak lagi didengar dua bulan
setelah perkara itu disebut-sebut kerana tidak dapat disangkal lagi
bahawa gangguan komputer itu tidak menimbulkan kesilapan pada pengiraan
undi, sebaliknya hanya sewaktu pengumuman keputusan hakikat yang boleh
dibuktikan kepada sesiapa jua pada bila-bila masa.
“Dua dakwaan lagi, iaitu berkenaan “753 perwakilan,
sebahagian besarnya berketurunan India” yang konon tidak diberi notis
mengenai Kongres dan kerana itu tidak dapat mengambil bahagian dalam
pemilihan CEC dan “547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari
Pulau Pinang,” adalah dakwaan tidak berasas dan pembohongan yang nyata.
“Kerana itulah Ketua Pengarah ROS tidak sanggup menyatakan
secara bertulis alasan mengapa beliau tidak berpuas hati dengan
pemilihan CEC DAP dan mahu pemilihan semula diadakan,” katanya dalam
kenyataan media semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata,
selama tujuh bulan, kempen DDD UMNO/BN menyebarkan cukup banyak
pembohongan dan kepalsuan mengenai DAP menerusi ratusan laporan media
kawalan UMNO/BN, misalnya menyebut bahawa “satu-satunya cara untuk
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dapat mengenepikan anggota parti yang
tidak menyokongnya, khususnya ahli daripada kaum India, ialah menerusi
pembatalan pendaftaran parti.”
Katanya, berdasarkan senario itu, ada cakap-cakap dalam
parti yang menyebut bahawa Guan Eng lebih suka jika parti itu dibatalkan
pendaftarannya daripada mengadakan pemilihan semula.
“Malah dakwaan dan pembohongan yang lebih besar lagi
menyebut bahawa kepimpinan DAP cuba untuk merasuah ROS untuk membatalkan
pendaftaran parti itu.
“Semua pembohongan itu berguna untuk kempen jahat DDD
UMNO/BN, tetapi ia pada masa sama mendedahkan kenyataan bahawa Ketua
Pengarah ROS bertindak berdasarkan skrip kempen DDD UMNO/BN dan tidak
bertindak secara bebas, adil dan profesional,” ujarnya.
Beliau berkata, cerita bohong seperti itu bersesuaian
dengan kempen DDD UMNO/BN yang mendakwa kepimpinan DAP mahu pendaftaran
parti itu dibatalkan supaya sebuah parti DAP baru dapat ditubuhkan
seperti UMNO Baru yang penubuhannya dijadikan peluang oleh Tun Dr
Mahathir Mohamad untuk mengenepikan ahli UMNO yang tidak bersetuju
dengan beliau setelah UMNO lama diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah
(bukan oleh ROS) pada 1988.
“Sebagai penegasan terhadap kenyataannya bahawa ahli DAP
tidak harus “menaruh harapan palsu” untuk menubuhkan sebuah DAP baru,
Abdul Rahman juga berkata: “Mereka boleh memohon. Tetapi hak untuk
meluluskan berada di tangan ROS. Kami tidak melayan 29 permohonan untuk
menubuhkan parti baru yang dikemukakan sejak lima tahun lalu.”
“Abdul Rahman secara rasmi telah menyerahkan sijil
pendaftaran pertubuhan kepada 20 parti politik baru pada Isnin, 2
September lalu (11 parti dari Sabah, lima dari Sarawak dan empat dari
Semenanjung), namun jelas bahawa keputusan meluluskan pendaftaran 20
parti politik itu telah diambil jauh lebih awal, iaitu sebelum beliau
mengeluarkan peringatan kepada ahli DAP untuk tidak “menaruh harapan
palsu.”
“Persoalan sekarang, apakah KP ROS terus menari mengikut
rentak gendang skuad DDD UMNO/BN dan menjadi perkakas usaha mereka untuk
memusnahkan DAP,” soalnya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan