Selasa, 17 September 2013

BERSIH 3.0; Anggota Polis dan DBKL juga mesti disiasat dan didakwa

BULETIN ONLINE


MARANG – Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) Ustaz Mohd Nor Hamzah mempersoalkan tindakan kerajaan yang mendakwa para peserta peserta BERSIH 3.0 dan menjatuhkan hukuman keatas mereka, sedangkan pihak lain terbabit, yang turut menjadi punca kekacauan, lepas bebas.

“Seorang peserta telah dijatuhkan hukuman dan ketika ini sedang menunggu rayuan, itu keputusan mahkamah, kita kena patuh. Tetapi apabila punca kepada kekecohan telah dikenalpasti, maka apakah hukuman kepada mereka yang bertindak memulakannya?

“sepatutnya, supaya berlaku adil, satu siasatan segera sejurus sahaja laporan diterima dijalankan keatas mereka-mereka yang dikatakan sebagai pemula kekecohan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menziarahi keluarga seorang peserta Himpunan itu yang telah dijatuhkan hukuman, Mohd Safuan Mamat@Nordin di Mercang dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong mendesak pihak berwajib turut menyiasat dan mengheret ke mahkamah, anggota-anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, menurut laporan setebal 500 muka surat, Panel yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia telah mengesahkan bahawa anggota-anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menjadi punca huru-hara Himpunan Bersih 3.0.

Beliau tidak menolak kemungkinan penggunaan kuasa secara berlebihan oleh anggota-anggota PDRM dan DBKL seperti dalam laporan panel itu menjadi punca kepada tindak balas orang ramai.

Pada 12 Julai, 2013, sebuah portal berita atas talian (online) telah menyiarkan berita yang bertajuk “Polis, DBKL Punca Huru Hara Bersih 3.0.”

Menurut portal itu, Panel ditubuhkan kerajaan mengesahkan polis Malaysia menggunakan kuasa berlebihan terhadap penyokong berbaju kuning dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 tahun lalu sehingga menyebabkan kekacauan di ibu negara Kuala Lumpur.

Sumber dari dalam panel diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar itu juga menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan rapuh mereka dalam tidak membenarkan penganjur perhimpunan menggunakan Dataran Merdeka untuk acara itu dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), kerana menghentikan bas dan keretapi milik kerajaan daripada masuk ke bandar.

Tiada ulasan: