Khamis, 19 September 2013

Bekas setpol Shahrizat akui disiasat SPRM

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim semalam tampil mengadakan sidang media bagi membersihkan namanya yang dikaitkan dengan penyelewengan dana program akhiri zaman miskin (1AZAM).

Dalam sidang media di Kelab Tasik Putrajaya semalam, Suhaimi mengakui bahawa beliaulah individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan oleh media sebelum ini.

"Tiada apa yang hendak disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat yang disiarkan di blog dan portal tidak semuanya betul.

"Saya tidak terlibat dalam program 1AZAM. Saya telah bekerjasama dengan SPRM dan kini saya mahu membersihkan semula nama saya," katanya dipetik The Malaysian Insider.

Beliau sebelum ini ditahan empat oleh SPRM bermula Jumaat lalu sebelum dibebaskan pada Selasa.

Sementara itu, media sebelum ini melaporkan bahawa SPRM  turut merampas sebanyak sepuluh kenderaan mewah milik bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Pahang itu.

Antara kenderaan yang dirampas ialah Toyota Alphard, Vellfire, Camry, Volkswagen Golf GTI dan mosikal berkuasa tinggi.

"Jika ada pihak yang mempersoal kemewahan saya, seperti tersiar di blog, itu hasil usaha keras saya.

"Saya seorang ahli perniagaan sejak 1995 dan dari situlah datang sumber kewangan itu," katanya lagi.

Tiada ulasan: