KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah syarikat pembekal filem luar negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan pecah amanah membabitkan wang lebih RM1 juta dengan memindahkan wang itu ke dalam akaun peribadinya, tahun lepas.
  
Mahni Che Kerma, 55, yang merupakan pengarah Syarikat Beta Carriage Sdn Bhd ketika itu, didakwa pecah amanah wang syarikat iaitu dengan curangnya memindahkan wang berjumlah RM1,013,534 dari akaun Maybank Islamic syarikat ke dalam akaun Maybank Islamic miliknya di syarikat itu di No.6-1, Tingkat 1, Jalan 2A/27A, Seksyen 1, Bandar  Wangsa Maju, di sini pada 28 Ogos 2012.
  
Pembekal filem kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
  
Hakim Norsharidah Awang membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
  
Mahkamah menetapkan 12 Nov untuk sebutan.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shashita Mohamed Hanifa manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rabinder Singh. - Bernama