KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) akan
membentangkan Bajet Alternatif 2014 sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak membentangkan bajet kerajaan pada 25 Oktober ini.
Pada sidang media bersama Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam,
Steven Sim Chee Keong, Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah
Anwar dan Ahli Parlimen PAS Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata, Bajet
Alternatif itu adalah tawaran PR untuk menjana ekonomi negara dengan
cara sebetulnya agar dapat mengelak pembaziran.
Bajet Alternatif PR itu akan memberi tumpuan kepada
tanggungjawab fiskal melalui langkah seperti pembaharuan kepada
belanjawan dan mengetatkan perolehan kerajaan serta peraturan
perbelanjaan dalam usaha untuk mengurangkan pembaziran, ketirisan dan
kos yang berlebihan.
Bajet itu dijangka mengandungi ‘dasar berdaya pembaharuan’
untuk meluaskan sumber hasil kerajaan ditambah dengan pemantauan rapi
perbelanjaan.
“Kami mahu tawarkan analisis dan idea Bajet PR supaya Najib
boleh ambil kira, ia juga adalah untuk seluruh rakyat dan pasaran
termasuk pakar ekonomi untuk menghakimi siapa sebenarnya lebih layak
menguruskan ekonomi negara.
“Merujuk kepada Belanjawan Tambahan yang dibentangkan
semalam iaitu RM14 bilion. Kita amat bimbang kerana ini adalah tahun
ke-16 kerajaan membentangkan bajet defisit.
“Najib walaupun dilihat berusaha untuk kurangkan defisit
kepada 4 peratus tapi nampaknya tidak berjaya, sebagai contoh, tahun
lepas 4.9 peratus, tahun ini kita jangkakan akan naik selepas
pembentangan sehingga 5.5 peratus,” kata Steven Sim, di Lobi Parlimen,
hari ini.
Awal bulan ini, kerajaan mengurangkan subsidi petrol RON95
dan diesel sebanyak 20 sen seliter dalam usaha mengurangkan subsidi
bahan api kira-kira RM3.3 bilion setahun.
Firma penarafan antarabangsa, Fitch Ratings juga mengurangkan unjuran hutang negara daripada stabil kepada negatif Julai lalu.
“Hutang negara ketika ini juga kian bertambah, lebih
daripada 53 peratus, paling tinggi dalam sejarah. Kita menjangkakan pada
akhir 2013, akan mencecah siling hutang, siling itu hak hutang yang
ditentukan sendiri kerajaan iaitu hutang negara tidak boleh lebih
daripada 55 peratus tapi nampaknya dengan ‘trend’ kerajaan sekarang,
kita akan melepasi siling hutang.
“Fitch Ratings telah menurunkan ‘outlook’ negara daripada
stabil ke negatif, semua ini akan memberi kesan, bukan saja kepada
keyakinan pelabur asing tetapi rakyat sebab ekonomi yang lemah akan
menyebabkan pelbagai masalah.
“Jadi sebab itu kita nak tawarkan cara bagaimana PR
mengendalikan ekonomi berbanding kerajaan. Namun, kita terbuka jika
Najib nak mengambil dan meniru idea ini,” sindir Sim yang juga Pengarah
Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan.
Nurul Izzah pula menimbulkan kebimbangannya mengenai
perbelanjaan semasa kerajaan yang akan membawa hutang negara kepada
lebih daripada 55 peratus, di atas siling hutang.
“Hutang negara menyaksikan peningkatan sejak Najib menjadi
Perdana Menteri pada 2009 iaitu 45 peratus daripada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK).
“Ia adalah masa bagi kerajaan untuk membentangkan bajet
jujur dan berani serta tidak lagi menyembunyikan di bawah amalan
ekonomi yang tidak tepat sehingga bajet tambahan diperlukan setiap
tahun.
“Jika tidak ada sebarang perubahan dilakukan kepada
perbelanjaan dan KDNK, defisit akan meningkat kepada 5.5 peratus, ianya
amat membimbangkan,” ujarnya.
“Jika terdapat sebarang perubahan kepada ramalan perbelanjaan dan KDNK, defisit akan meningkat kepada 5.5 peratus.
Perbelanjaan bajet kerajaan semakin meningkat pada tahun
kebelakangan ini, daripada RM206.2 bilion pada 2010 kepada RM212 bilion
dan RM252.4 bilion pada 2011 dan 2012.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan