Ahad, 8 September 2013

Anwar : Kerajaan Umno-BN harus pertingkat prasarana sebelum wajib lulus BI


anwar - MB


SHAH ALAM  : Kerajaan Umno-BN digesa mempertingkatkan prasarana pembelajaran Bahasa Inggeris yang mencukupi menjelang 2016 sebelum melaksanakan dasar wajib lulus matapelajaran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketiadaan kemudahan pembelajaran yang mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar hanya menambahkan beban kepada pelajar dan pengajar.

“Wajib lulus dalam keadaan yang tidak sempurna antaranya dari segi mutu guru, kemudahan belajar dan kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah di desa termasuk di sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil. Dasar itu perlu diteliti terlebih dahulu,” jelas Anwar.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan subjek Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib SPM menjelang 2016 sempena pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ini masalah Menteri dan pimpinan politik yang tidak mempunyai kesinambungan dengan realiti yang berlaku di bawah,” tegas Anwar.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Dunia Kebangkitan Islam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut bersama Anwar adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar turut mengulangi gesaan ramai pihak yang mahu Kerajaan Pusat agar mengangkat dan melestarikan Bahasa Melayu dengan memastikan pelajar menguasai bahasa rasmi itu dengan baik.

“Penguasaan Bahasa Melayu perlu terus dipertingkatkan mutu penguasaannya. Ini perlu jelas dalam dasar dan pelan induk yang harus diselesaikan,” tegas beliau.

Tiada ulasan: