ANTARAPOS.COM
MELAKA: Seorang koperal polis maut ketika bergelut untuk menahan
seorang suspek dalam Ops Lejang di Taman Teknologi Cheng di sini, hari
ini.
Dalam pergelutan itu, Kpl Zal-Azri Abdul Somad, 31, dari Bahagian
Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, cedera di
kepala dan muka dipercayai dipukul dengan batu dan mati di tempat
kejadian.
Ketua Polis Melaka SAC, Datuk Chua Ghee Lye berkata, Zal-Azri menyertai
operasi itu untuk menangkap sekumpulan lelaki yang disyaki cuba mencuri
besi buruk di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Cheng awal pagi
tadi.
"Tiga suspek ditahan berumur 17, 22 dan 23 tahun dipercayai sedang
mencuri besi lusuh di kawasan itu. Kira-kira 8 pagi seorang daripada
mereka (suspek berusia 17 tahun) cuba melarikan diri dan dikejar
Zal-Azri," katanya.
Beliau berkata, Zal-Azri dipercayai bergelut dengan suspek sebelum
cedera di bahagian kepala serta muka dan anggota polis itu ditemui
anggota pasukannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 25 meter
dari tempat pergelutan itu, sebelum meninggal dunia.
Ditanya adakah Zal-Azri dipukul menggunakan batu di kepala oleh suspek
dalam pergelutan itu, Chuah berkata: "Mungkin dipukul dengan batu...kami
jumpa batu itu di sana, kami masih menyiasat. Jadi buat masa ini masih
terlalu awal untuk membuat kesimpulan.
Beliau berkata, suspek yang dapat melarikan diri selepas pergelutan itu, berjaya ditahan di Krubong pada pukul 10.50 pagi.
"Zal-Azri telah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai anggota polis dan
baru dua bulan ditukarkan ke bahagian itu berdasarkan perkhidmatan
cemerlangnya sebelum ini di Alor Gajah," katanya.
Jenazah Zal-Azri akan dikebumikan di negeri asalnya, Pulau Pinang.
Allahyarham meninggalkan isteri Atiqah Mohd Rosdi @ Mohd Rodi, 29, dan
dua anak iaitu Mohamad Habibullah, 4, dan Mohamad Atiqullah, lima bulan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan