Khamis, 26 September 2013

Anak Muda Akan Tetap "Sambut" Obama Sekalipun Menteri Kata Jangan


KELAB GREENBOC
 
 
Saranan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamad supaya jelajah anti Obama dan anti TPP dihentikan tidak akan dilayan penganjurnya.

Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, pihaknya dan rakan sekutu tetap akan meneruskan jelajah seperti yang dijadualkan.

"Saranan beliau (Mustapa) supaya kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran turut tidak akan diendahkan.

"SAMM ingin menegaskan bahawa pentingnya jelajah ini diteruskan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa perjanjian TPP ini bakal mengheret negara ke kancah penjajahan moden dalam bentuk ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Jelajah #BantahObama #TolakTPP kini memasuki siri ke-5 yang berlangsung di Taman Meru, Ipoh, Isnin lalu.

Ujarnya lagi, program tersebut akan bergerak ke sembilan lagi lokasi di seluruh negara.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Menteri kata jangan tetapi 'sambut' Obama diteruskan

Gabungan NGO membantah Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak peduli terhadap gesaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar menghentikan siri jelajah anti Obama dan anti TPPA.

Sebaliknya jurucakap gabungan, Badrul Hisham Shahrin yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, mobilasi rakyat bagi 'menyambut' kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama ke Malaysia pada 11 Oktober depan akan diteruskan mengikut jadual.

Beliau berkata, mereka mahu Obama melihat sendiri aksi rakyat yang tidak bersetuju dengan TPPA.

"Menteri (Mustapa) bukan sahaja keliru dan tak faham tujuan kita tapi cuba mengelirukan dewan.

"Kita bantah TPPA yang masih dalam rundingan kerana orang Umno sendiri pun tak tahu isi kandungan perjanjian sebaliknya selepas empat tahun baru boleh dedah isi kandungan perjanjian.

"Jadi siri mobilisasi dan himpunan akan diteruskan bagi menunjukkan bantahan kita," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi semalam, Mustapa meminta supaya kehadiran Obama tidak disambut dengan protes besar-besaran sepertimana yang sedang disusun melibatkan pelbagai pihak.

Beliau turut berkata, siri jelajah juga tidak wajar diteruskan memandangkan Malaysia masih berunding dengan negara-negara yang terlibat dengan TPPA.

SAMM bersama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Gabungan Membantah TPPA (Bantah) dengan pendokong utamanya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) sedang mengadakan jelajah Bantah TPPA yang bermula 17 September lalu.

Berikut merupakan jadual Jalajah TPPA sehingga 10 Oktober:

26 September: Kompleks Pendidikan ISlam, Badak, Bachok, Kelantan
27 September: Jalan Gong Pasir, Dungun, Terengganu
28 September: Padang Balok Makmur, Kuantan, Pahang
1 Oktober : Pusat Khidmat Dun Kuala Kurau, Parit Buntar
4 Oktober : Pusat Komuniti Bakri-Bentayan, Muar, Johor
5 Oktober : Taman Asean, Bandar Melaka, Melaka
6 Oktober : Taman Tasek Jay, Senawang, Seremban, Negeri Sembilan
8 Oktober : Dewan Seri Sekinchan, Selangor
10 Oktober : Grand Finale, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Kemuncak Jelajah #BantahOBAMA #TolakTPPA di Kelab Kg Baru, memberi ruang kepada dua tokoh ternama iatu Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berada sepentas bersama menentang Perjanjian TPPA.

Petisyen jemputan telah diserahkan kepada kedua-dua belah pihak melalui serahan tangan dan faks.
-HD

Tiada ulasan: