Selasa, 10 September 2013

Ambil tindakan kepada Zainuddin, Fuad dan Utusan

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah mengarahkan para peguam mengambil tindakan perundangan terhadap Zainuddin Maidin, Fuad Zarkashi dan Utusan Malaysia untuk membersihkan namanya daripada semua pembohongan berkaitan 13 Mei 1969.

Namun, rakyat Malaysia dan perwakilan Umno sendiri perlu bertanya kepada diri mereka apakah mereka hendak membenarkan penyebaran pembohongan dan hasutan berunsur perkauman menjejaskan usaha pembinaan bangsa Malaysia.

Ini semata-mata kerana mereka percaya bahawa ia adalah cara yang paling dapat menjamin undi yang tinggi dan pengaruh meluas dalam pemilihan parti Umno yang bakal menjelang.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Kebelakangan ini media Umno dan media sosial, termasuk facebook, twitter, dan blog, dibanjiri pembohongan dan hasutan berasaskan perkauman. Keadaan ini menimbulkan persoalan:

Apakah penyebaran pembohongan dan hasutan berunsur perkauman, tanpa mengambil kira kesannya terhadap usaha pembinaan bangsa Malaysia, adalah cara yang paling dapat menjamin undi yang tinggi dan pengaruh meluas dalam pemilihan parti UMNO yang bakal menjelang?

Dua hari lalu, akhbar rasmi UMNO Utusan Malaysia telah menerbitkan satu laporan yang memuatkan tuduhan bekas timbalan menteri UMNO Dr. Mohd Fuad Zarkashi yang menyebut bahawa kritikan DAP terhadap filem “Tanda Putera” “semata-mata ingin menyembunyi kebiadapan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bertindak kencing di depan rumah Menteri Besar Selangor ketika peristiwa 13 Mei 1969.” (Utusan Malaysia 7.9.13 hal.13)

Mengapa seorang bekas menteri UMNO sanggup mengeluarkan kenyataan yang sedemikian palsu, tidak bertanggungjawab, dan penuh pembohongan, serta mengapa pula Utusan Malaysia sanggup menerbitkannya?

Saya tidak berada di Kuala Lumpur sepanjang tempoh terjadinya 13 Mei 1969 dan pengarah filem Tanda Putera Datin Paduka Shuhaimi Baba pula telah menyatakan yang adegan kencing dalam filem tersebut adalah rekaan beliau yang menggunakan “lesen kreatif” untuk mengkhayalkan babak rusuhan kaum 13 Mei 1969!

Ini bukan kejadian terpencil, memandangkan kebelakangan ini telah banyak pembohongan dan dusta disebarkan menerusi media UMNO dan media sosial, termasuk catatan dalam blog bekas menteri penerangan Zainuddin Maidin pada hari Selasa lepas (3 September 2013) yang menuduh saya terlibat mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dengan katanya, “Racun yang mereka semai telah membunuh.”

Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Zainuddin, Fuad, dan Utusan Malaysia untuk membersihkan nama saya daripada semua pembohongan ini. Namun, rakyat Malaysia dan perwakilan UMNO sendiri perlu bertanya kepada diri mereka apakah mereka hendak membenarkan penyebaran pembohongan dan hasutan berunsur perkauman menjejaskan usaha pembinaan bangsa Malaysia semata-mata kerana mereka percaya bahawa ia adalah cara yang paling dapat menjamin undi yang tinggi dan pengaruh meluas dalam pemilihan parti UMNO yang bakal menjelang!

Saya telah berulangkali menyebut bahawa saya tidak berada di Kuala Lumpur semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969 berlaku, tetapi nampaknya hakikat dan kebenaran tidak mempunyai makna di mata para pemimpin dan juru propaganda UMNO yang bersungguh-sungguh hendak menyebarkan pembohongan bahawa saya telah mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei 1969 dengan mereka-reka cerita tentang peranan saya dalam perarakan jalanan pada 11, 12, dan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur serta mereka-reka cerita saya kencing pada tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor.

Enam sebab mengapa saya tidak mungkin terlibat mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei 1969:

Sekurang-kurangnya ada enam perkara yang membuktikan bahawa tidak mungkin saya boleh mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969.

Pertama, saya tidak bertanding untuk mana-mana kerusi di Kuala Lumpur atau Selangor pada pilihanraya umum 1969 yang lalu, sebaliknya saya bertanding untuk kerusi parlimen Bandar Melaka.

Kedua, saya tidak berada di Kuala Lumpur selepas pilihanraya umum 10 Mei 1969, sebaliknya ketika itu saya berkempen di Kota Kinabalu untuk seorang calon bebas bagi kerusi parlimen, kerana pilihanraya umum di Sabah untuk tahun 1969 diadakan selepas pilihanraya di Semenanjung pada 10 Mei 1969.

Ketiga, jika saya yang menyebabkan rusuhan kaum 13 Mei 1969, sudah tentu saya tidak akan berani balik ke Kuala Lumpur dari Sabah, apatahlagi jika benar bahawa saya yang telah melaungkan slogan-slogan anti-Melayu dalam perarakan jalanraya di Kuala Lumpur dan telah kencing pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor.

Keempat, jika benar saya yang menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969 dengan melaungkan slogan-slogan anti-Melayu dalam perarakan jalanraya di Kuala Lumpur dan telah kencing pada tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor, sudah tentu dulu lagi saya telah dituduh dan didakwa di mahkamah, kerana pelaku perbuatan jijik sedemikian tidak mungkin dilepaskan begitu saja!

Kelima, jika saya adalah pencetus rusuhan tersebut, tentu saya tidak akan meminta, sejak 44 tahun lalu sehingga sekarang, supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasa kejadian 13 Mei 1969 bagi mengenalpasti sebab dan dalangnya.

Keenam, saya juga tentu tidak akan menulis surat kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dari Pusat Tahanan Muar pada 5 Ogos 1969 untuk meluahkan “kegelisahan tentang masa depan Malaysia” dan mengemukakan tiga cadangan untuk mengukuhkan perpaduan nasional berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Seperti yang saya sebutkan dalam surat saya kepada Tunku:

“Sejak awal lagi selepas kekacauan 13 Mei, DAP telah menawarkan bantuan untuk memulihkan keamanan dan keharmonian.

“Saya sendiri, pada 17 Mei, telah sempat mengemukakan tawaran dan kesanggupan yang sama bagi pihak parti saya dalam sebuah sidang akhbar di Singapura, sebelum saya pulang ke ibu kota Malaysia dari Sabah dan sebelum ditangkap.”

Tiga cadangan yang saya kemukakan itu ialah:

(1) Agar Parlimen bersidang dengan segera untuk (a) membolehkan semua Ahli Parlimen menegaskan sokongan mereka terhadap konsep dan ideal toleransi, persefahaman dan kemajmukan kaum; dan (b) memulihkan keyakinan rakyat terhadap proses demokratik dan menafikan peluang Parti Komunis Malaya untuk menangguk keuntungan politik daripada kekacauan tersebut.

(2) Penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat sebab-sebab terjadinya kekacauan 13 Mei serta menangkap dan menghukum para dalangnya; dan

(3) Penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti semua masalah perkauman di Malaysia dengan tujuan merumuskan penyelesaian jangka panjang.

Kita perlu menimba pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969 agar Malaysia dapat menjadi negara yang lebih bersatu, berjaya, serta makmur, dan bukannya menyelewengkan sejarah dan fakta-fakta tentang peristiwa tragis yang berlaku 44 tahun lalu itu untuk menangguk keuntungan politik demi mendapatkan undi yang lebih tinggi dan meraih pengaruh lebih besar dalam pemilihan parti UMNO yang bakal menjelang.

Tiada ulasan: