Isnin, 23 September 2013

Ahli Parlimen PAS sokong abu Chin Peng masuk Malaysia

OLEH MOHD FARHAN DARWIS




















Ahli Parlimen PAS hari ini menyokong agar abu mayat Chin Peng dibawa masuk negara apabila menyeru agar Ketua Polis Negara (KPN) disarankan jangan menjadi "seperti Perkasa" apabila bercakap soal perundangan.

Tanpa merujuk kepada mana-mana perundangan, Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin (gambar) membidas kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang berkata abu mayat Chin Peng tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara dan semakan akan dibuat untuk menghalangnya.

Mohamed Hanipa berkata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah jelaskan tiada sebarang peruntukan undang-undang boleh digunakan bagi menghalang abu mayat Chin Peng di bawa masuk.

 "Jangan keluarkan kenyataan seperti Perkasa, menggunakan emosi. Gunakan fakta undang-undang," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Profession Undang-undang (Pindaan) 2012 hari ini.

Memuji kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor, yang menyeru sumbangan Chin Peng kepada kemerdekaan negara dikaji semula, Mohamed Hanipa menegaskan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) itu juga turut membantu kemerdekaan negara.

"Nasib baik Rahim Noor yang kata, kalau Mohd Sabu sudah tentu banyak laporan polis dibuat terhadapnya," katanya merujuk kepada Timbalan Presiden PAS.

Kenyataannya itu selari dengan perbahasan hari ini yang mana mereka tanpa kepakaran perundangan tidak seharusnya mengeluarkan nasihat perundangan.

"Ia perlu diperluas kepada individu seperi KPN, Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menghalang mereka mengeluarkan kenyataan membabitkan isu perundangan," katanya, menambah kenyataan KPN itu prejudis terhadap Chin Peng.

Selepas kematiannya, pertikaian antara penyokong dan penentang komunis mula berbangkit apabila Putrajaya menghalang abu mayat bekas pemimpin PKM itu di bawa masuk ke dalam negara.

Tinggal beberapa jam sahaja lagi mayat Chin Peng akan dibakar, keluarganya masih tidak pasti apa yang akan dilakukan terhadap abu berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keengganan Putrajaya membenarkan abu mayat itu di bawa masuk adalah disebabkan khuatir akan wujudnya "penghargaan" sesetengah pihak terhadap bekas pemimpin berkenaan.

Tiada ulasan: