KUALA
LUMPUR: Lebih dua minggu selepas tayangan perdana filem
kontroversi Tanda Putera dan selepas setahun operasi politik filem itu
menyerang Lim Kit Siang dan DAP, penyelenggara laman Facebook filem
terbabit akhirnya meminta maaf dan mengaku salah.
Laman Facebook Tanda Putera adalah sumber pertama yang
menyiarkan gambar menunjukkan pemimpin veteran DAP itu diheret dua
lelaki beruniform, dengan kapsyen mendakwa Lim Kit Siang kencing di
tiang bendera rumah Menteri Besar Selangor sewaktu rusuhan 13 Mei 1969.
Semalam, bekas Pegawai Cawangan Khas, Tan Sri Yuen Yuet
Leng mendedahkan bahawa insiden “kencing” di depan kediaman Menteri
Besar Selangor pada 13 Mei 1969 adalah rekaan kerana beliau tidak pernah
mendengar mengenai insiden itu walaupun bertugas di Kuala Lumpur ketika
rusuhan itu berlaku.
Laman Facebook Tanda Putera (https://www.facebook.com/TandaPutera/posts/691982294163987) semalam menyiarkan status yang antara lain menyebut:
“Admin masa tu, kawan kita gak, terima link daripada
pengunjung yang hantar gambar Lim Kit Siang dan keterangan gambar
(caption) salah.
“Admin muda kita pun bukan sengaja, dia ingat benda tu
betul, dia upload. Tapi dipadam cepat bila penerbit sedar kesilapan itu.
YB LKS ada menulis tentang kesilapan itu.”
Menurut laman itu lagi, gambar dan keterangannya sudah
dibuang, diiringi permohonan maaf daripada pengendali laman serta
penerbit filem atas perkara yang menurutnya tidak disengajakan itu. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan