Jumaat, 6 September 2013

130 buah rumah dilanda banjir kilat

Muhammad Faizal,




 SHAH ALAM: Banjir kilat yang melanda sekitar Tol Sungai Rasau pagi ini telah mengakibatkan kesesakan lalulintas hampir lapan kilometer bagi kedua-dua laluan di lebuh raya persekutuan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati hampir 130 buah rumah di Kampung Air Kuning dan Kampung Benggali ditenggelami air sedalam setengah meter yang menyebabkan kerosakkan harta benda.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad yang turun meninjau memberitahu punca utama kejadian banjir kilat ini adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang terhalang akibat daripada kerja-kerja laluan masuk bertingkat dari lebuhraya persekutuan ke I-City di Seksyen 7.

Katanya lagi, perkara ini telah dilaporkan kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) namun sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan diambil bagi mengarahkan pihak Pengurusan I-City membaikpulih longkang besar yang telah terhalang dengan tanah.

"Kita sudah banyak kali berhubung dengan MBSA tapi tidak ada tindakan, aduan dari penduduk pun sudah dilakukan tapi apa keputusan dan tindakan pun kita tak tahu.

"Jadi inilah akibatnya, penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat banjir, saya anggarkan lebih kurang 130 buah keluarga yang mana rumah mereka dinaiki air," jelasnya.

Khalid dalam pada itu turut mengesa agar satu arahan segera dikeluarkan oleh Datuk Bandar MBSA kepada pihak pengurusan I-City untuk membaiki longkang-longkang besar yang telah tertimbus oleh tanah.

"Kita gesa Datuk Bandar menyegerakan arahan kepada pihak I-City untuk baiki longkang-longkang tersebut, saya tidak mahu rakyat menjadi mangsa akibat terlalu ghairah mengejar pembangunan.

"Bukan satu perkara yang sukar, pihak I-City boleh melantik kontraktor baru untuk kerja-kerja tersebut. Dalam kita hendak mengaut keuntungan, masalah penduduk setempat perlu diambil kira," tegas beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut berharap Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dalam permasalah berikut.

Selain dari itu, kerja-kerja mengepam air keluar oleh pihak Jabatan Pengairan dan saliran selangor (JPS) sedang dilakukan.

Seorang penduduk, Kogila Kandasamy yang sempat ditemui memberitahu beliau terpaksa keluar dari rumahnya di Kampung Bengali pada jam 6.30 pagi tadi apabila air mula melimpahi memasuki rumahnya.

Malah jelasnya beberapa peralatan elektrik tidak dapat diselamatkan akibat dari air yang naik terlalu cepat selain hujan yang turun dengan lebat.

Tiada ulasan: