Rabu, 10 Julai 2013

Penghakiman kes Kugan kembalikan semula kontroversi IPCMC

Oleh V Anbalagan

Tanyakan apa sahaja kepada Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah, beliau akan jawab.

Tetapi, jangan sesekali tanya cadangan kontroversi yang dibuatnya ketika mengetuai suruhanjaya khas pada 2004 berkaitan perlunya kerajaan menubuh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Ketika itulah, hakim tertinggi yang selama ini aktif dan lantang, menjadi diam.

Kenapa? Apabila The Malaysian Insider bertanya hal itu, beliau cuma berkata: "Setahu saya, kita sudah siapkan laporan dan beri yang terbaik. Itu sahaja yang dapat saya katakan."

Selama sembilan tahun, cadangan mengenai sebuah badan bebas menyiasat polis berjaya menarik minat ramai tetapi langsung tidak digemari polis.

Cadangan itu juga ditolak oleh kerajaan, terbaru Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Zahid Hamidi yang percaya ia membawa kepada masalah pertindihan bidang kuasa.

Tetapi, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham menghangatkan kontroversi itu semalam apabila menulis penghakiman mengenai keputusan mahkamah mengenai keperluan untuk mempertimbang kemungkinan penubuhan IPCMC berikutan pertambahan drastik kes kematian tahanan lokap.

Singham juga membentang hujah sama pada 26 Jun lalu ketika menyampaikan keputusan kes kematian A Kugan dalam lokap polis, empat tahun lalu.

Beliau mengulangi cadangan asal Dzaiddin ketika mengetuai Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi Dan Pengurusan pada 2004.

Suruhanjaya itu membawa 125 cadangan kepada kerajaan, satu daripadanya ialah menubuh IPCMC - idea yang dibangkang polis.

Dalam kes Kugan, Singham menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu Ketua Polis Selangor.

Bagi beliau, cadangan suruhanjaya diraja itu tidak patut di'peti sejuk' bahkan perlu disegera bagi memastikan orang ramai berasa keselamatan mereka terjamin berikutan wujudkan sesebuah agensi bebas.
Ivy Josiah, Pengarah  Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Wanita memaklumkan The Malaysian Insider, kenyataan Singham dianggap berlebihan, sebaliknya sebagai nasihat kepada badan eksekutif dan perundangan.

"Ini penting kepada kerajaan untuk melakukan perkara yang betul," katanya yang menyatakan memang menjadi kelaziman apabila seseorang hakim berlainan bidang kuasa memberi pandangan berdasarkan kes yang menjadi tumpuan ramai.

Perkara yang dinyatakan Singham itu juga antara yang diharap-harapkan masyarakat awam sejak 10 tahun lalu.

"Mereka sudah meminta penubuhan IPCMC berikutan laporan kematian dalam lokap makin menjadi-jadi," katanya yang menyifatkan pemantauan terhadap polis adalah perkara lazim dalam mana-mana negara demokrasi.

"Polis sendiri patut ada keberanian untuk menyokong IPCMC bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat," kata Josiah.

Mengikut statistik Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ada 218 kes dakwaan kematian dalam lokap di Malaysia antara 2000 hingga Jun lalu, dengan sembilan kes berlaku pada 2012 dan lima tahun ini.

Tiada ulasan: