Jumaat, 12 Julai 2013

Muslimat Sudah Gerakkan Jentera Bantu Kemenangan Kuala Besut

Wartawan Buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/images.jpgKUALA BESUT - Dewan Muslimat PAS Terengganu menegaskan, pilihan raya bukan soal menentukan calon semata-mata, tetapi ia adalah perjuangan bagi memenangkan Islam di negeri ini.

Ketuanya, Safinah Jusoh berkata, muslimat tidak pernah ‘berkecil’ hati soal pemilihan calon, kerana ia adalah keputusan parti dan selaku 'sayap' dalam parti muslimat menerima segala keputusan bahkan, katanya, muslimat telah pun mengerahkan jenteranya dari seluruh negara bagi membantu kempen PRK di Kuala Besut.

“Kami (muslimat) akan turun ‘padang’ semaksima mungkin untuk bantu calon kita (PAS) yang bertanding pada PRK Kuala Besut ini. Sebab ini, bukan soal siapa calon tetapi soal perjuangan untuk kemenangan Islam.

“Jadi, tidak timbul langsung kepada kami (muslimat) soal calon walau pun pada pilihan raya (PRU) 5 Mei lalu, calon muslimat bertanding iaitu Puan Napisah Ismail,” ujarnya.

Menurutnya, petugas parti terdiri dari jentera muslimat beberapa buah negeri telah pun ‘berkampung’ lebih awal iaitu Muslimat Kelantan, Johor, Pahang serta Terengganu.

Beliau menjelaskan jentera muslimat dari Hal Ehwal Wanita (Halwa) seluruh negeri di tempatkan di setiap Unit Peti Undi (UPU) di Dun Kuala Besut.

Katanya, Halwa sedang menyusun gerak-kerja sebelum turun ke lapangan mengikut portfolio yang diberikan kepada Muslimat PAS.

Safinah menjelaskan PAS perlu memenangi pilihan raya ini meski pun agak sukar pada pandangan mata kasar kerana Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan tersebut.

“Kita (muslimat) tidak bimbang kali ini walau pun orang kata sukar untuk PAS menang pada mata kasar kerana Umno-BN ada kelebihan yang berganda. PAS perlu menang untuk tentukan kedudukkan Dun Terengganu jadi seimbang (16-16).

“Kita (muslimat) harap dapat mencipta sejarah pertama kali dalam negara bukan sahaja di Terengganu, Insya’Allah,” ujarnya.

Tiada ulasan: