Berikutan gagal melunaskan bayaran ganti rugi RM30,000 dalam
satu kes saman fitnah, barangan dalam rumah milik Ketua Wanita PKR
negeri Pulau Pinang, Norhayati Jaafar di Taman Sri Kijang, Alma, Bukit
Mertajam, hari ini disita oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Mahkamah mengeluarkan perintah sita itu hari ini selepas Norhayati
gagal membayar ganti rugi RM30,000 kepada bekas Ketua Wanita PKR negeri,
Aminah Abdullah yang memenangi kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita
PKR negeri itu.
Peguam yang mewakili Aminah, Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata,
jika Norhayati masih gagal membayar ganti rugi selepas 14 hari
barangannya disita, mahkamah boleh mengambil tindakan melelong barangan
berkenaan.
Katanya, pada 27 Sept tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk G V
Varughese mengeluarkan perintah kepada Norhayati sebagai defendan
pertama dan dua lagi defendan, masing-masing membayar ganti rugi
RM30,000 kepada Aminah kerana didapati bersalah mengeluarkan kenyataan
berbaur fitnah dalam akhbar Harakah edisi 20-22 Mei 2011.
"Tiga bulan selepas keputusan penghakiman dibuat semua defendan
termasuk Norhayati gagal membayar ganti rugi berkenaan. Jadi ini adalah
salah satu cara yang kita ambil iaitu dengan meminta mahkamah
mengeluarkan perintah menyita barangan milik defendan," katanya kepada
pemberita.
Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan apabila suami Norhayati
mempertikaikan proses penyitaan itu dan kehadiran sekumpulan wartawan
dan jurugambar di rumahnya bagi membuat liputan proses penyitaan itu.
Bagaimanapun, proses penyitaan dilaksanakan dengan sempurna apabila
wakil Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjelaskan kepada lelaki berkenaan
mengenai proses penyitaan itu.
Pada 15 Jun 2011, Aminah memfailkan saman fitnah RM6 juta terhadap
Norhayati; Timbalan Ketua Cabang PKR Bukit Mertajam, Jab Samat; dan
Setiausaha PKR Cabang Jelutong, Khairil Anuar Kamarudin serta tiga lagi
iaitu wartawan Harakah, Mohd Sabri Said; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad
Lutfi Othman dan PAS.
Aminah dalam pernyataan tuntutannya mendakwa laporan akhbar itu,
antara lain, bermaksud beliau seorang yang jahil agama dan tiada
sebarang pengetahuan syariat Islam dan menerima umpan kebendaan daripada
Umno.
Selain itu, beliau mendakwa ketiga-tiga pemimpin PKR, pada satu
sidang akhbar di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, dengan
niat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, kecaman berbentuk
peribadi serta tuduhan tidak berasas yang bertujuan mengaib, menjatuhkan
maruah, nama baik dan reputasinya.
Mahkamah Tinggi dalam keputusannya memerintahkan Norhayati, Jab dan
Khairil Anuar masing-masing membayar ganti rugi RM30,000 kepada Aminah,
manakala Mohd Sabri, Ahmad Lufti dan PAS dilepaskan selepas mahkamah
menerima pembelaan mereka.
Permohonan untuk mendapat kebenaran merayu oleh tiga pemimpin PKR itu
juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 29 November tahun lalu.
Sementara itu, Aminah berkata beliau hairan mengapa Norhayati tidak
mendapat pembelaan daripada PKR sedangkan wanita itu sanggup membuat
fitnah demi membela parti dan presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail.
"Sepatutnya dia (Norhayati) minta bantuan daripada Wan Azizah
membayar ganti rugi kepada saya seperti yang diarahkan oleh mahkamah
kerana apa yang dia lakukan terhadap saya adalah bagi membela Wan Azizah
dan PKR.
"Saya berpendapat Norhayati perlu memikirkan semula perjuangannya
bersama PKR kerana dia sudah banyak membela parti itu tetapi sekarang
apabila dia susah parti itu langsung tidak membelanya," katanya. -
Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan