Isnin, 8 Julai 2013

Kos kempen politik PRU13, penganalisis bercanggah pendapat

Oleh Hasbullah Awang Chik

Kos kempen politik menjadi antara perdebatan hangat dua penganalisis politik, Dr Bridget Welsh dan Prof Dr James Chin pada Wacana PRU13: Pengaruh Media dan Implikasi Masa Depan.

Kata James, kos kempen politik pada PRU13 hanya menelan belanja sekitar RM1 billion dengan andaian perbelanjaan satu kerusi Parlimen kira-kira RM300 juta.

Welsh pula menyatakan kos kempen politik mungkin mencecah RM2 billion dengan mengandai, perbelanjaan bagi satu kerusi Parlimen mencecah RM400 juta.

“kos lain perlu diambil kira dan dan kos terbesar dalam kempen itu ialah perbelanjaan pengiklanan. Kos pengiklanan sepanjang kempen sangat tinggi.

“Upah pengendali laman blog dan jentera pilihan raya juga termasuk dalam anggaran bajet. Perbelanjaan juga berkait rapat dengan kawasan kendalian pilihan raya.

"Jika pilihan raya diadakan di pedalaman seperti Sabah dan Sarawak, kosnya meningkat,” kata Welsh ketika dihubungi The Malaysian Insider selepas forum yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Dalam perkembangan lain, Chin berkata, kawasan pedalaman tidak terkesan dengan pengaruh politik kerajaan melalui media tradisional seperti televisyen, radio dan akhbar harian.

“Kempen melalui media tradisional tidak lagi mendatangkan kesan kerana orang ramai kini rata-rata tertumpu kepada kempen melalui media sosial dan menjadikan portal berita internet sebagai rujukan.

“Kebanyakan penduduk desa kini semuanya memiliki telefon pintar dengan akses 3G. Jadi semua maklumat boleh didapati di hujung jari,” katanya.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, berkata Barisan Nasional (BN) harus menerima hakikat mereka hilang kepercayaan rakyat pada PRU13 kerana rakyat lebih bergantung kepada media sosial.

Beliau berkata, 'tentera siber' BN lebih gemar menyebar fitnah dan berdiri atas nama wang tetapi penyokong Pakatan Rakyat (PR) memberi komen berdasarkan fakta.

Selepas PRU13, Utusan Malaysia terus menerus mendakwa DAP memiliki tentera siber yang digelar 'Red Bean Army' yang diupah untuk menyerang BN di alam siber.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan itu

Tiada ulasan: