Khamis, 11 Julai 2013

Kerajaan jalankan forensik audit untuk dapatkan baki hutang RM70 juta NFC, kata Husni

Oleh Md Izwan

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah gagal menjelaskan kehilangan hutang baki RM70 juta melibatkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), selepas diasak oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) hari ini di dalam Dewan Rakyat.

Walau bagaimanapun, Ahmad Husni mempertahankan baki hutang RM70 juta tersebut akan dapat ditemui menerusi satu proses forensik audit tetapi ia mengambil masa yang agak lama kerana melibatkan perkara teknikal.

"Bila dapat maklumat, perkara itu tak disuarakan oleh sesiapa tetapi kita buat forensik audit kemudiaannya nampak jelas permasalahan tersebut.

"Bila bincang dengan AG, baru kita tahu tindakan apa yang boleh diambil... perundangan itu yang kita ambil perhatian," kata Ahmad Husni di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bangun menyoal Ahmad Husni selepas menteri tersebut menjelaskan sebilangan RM180 juta telah dipulangkan dan disita daripada NFC tetapi tidak mendedahkan butiran yang berlaku terhadap baki RM70 juta lagi.

"Apa yang telah terjadi kepada baki RM70 juta daripada RM250 juta wang yang diberikan kepada NFC?
"Adakah ia hangus atau rugi begitu sahaja? Kalau mahu baki RM70 juta itu diperoleh semula, apakah kerajaan mengambil tindakan supaya pengusaha dan pengarah terbabit mendapatkan semula wang tersebut?" soal Rafizi dari PKR kepada Ahmad Husni.

Ahmad Husni sebaliknya memberi jawapan wang tersebut mampu diperoleh semula menerusi usahasama syarikat tempatan dengan Jepun, Kirimitonas Agro Sdn Bhd dijangka akan mampu mengembalikan semua hutang oleh NFC.

"Kita sudah ada letter of intent dengan Kirimitonas dan kita sekarang dalam proses penilaian ke atas syarikat tersebut dan menunggu buat rundingan.

"Rundingan tersebut kalau berjaya maka syarikat tersebut akan beri komitmen akan membayar seluruh hutang," terang Ahmad Husni.

Kontroversi melibatkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tercetus selepas dikaitkan dengan projek penternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), dimana projek tersebut dianugerahkan kepada NFCorp yang dimiliki oleh suaminya Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail pada 2006 ketika Shahrizat masih lagi dalam Kabinet.

Projek itu dipersoalkan apabila Laporan Ketua Audit Negara pada 2011 menunjukkan beberapa kelewatan menjejaskan kemajuan ladang 1,500 hektar yang beroperasi sepenuhnya, malah lembu tidak cukup untuk pengeluaran optimum.

Ahli Parlimen pembangkang menggunakan laporan audit itu dan membuat beberapa pendedahan tetapi dinafikan oleh syarikat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada Januari 2012, aset NFCorp dibeku dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan wang dalam syarikat itu.

Siasatan Polis dan SPRM tertumpu kepada kemungkinan pecah amanah selepas pertuduhan sekurang-kurangnya RM27 juta daripada dana projek digunakan untuk membeli tanah dan hartanah di Singapura dan Kazakhstan, tidak kena mengena dengan penternakan lembu.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh minta dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah berjumlah RM9,758,140 melalui empat cek untuk membayar sebahagian daripada pembelian dua unit Kondominium One Menerung di Blok B di Bangsar, Kuala Lumpur untuk National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd, yang dimiliki oleh dirinya dan seorang anak lelakinya.

Skandal itu menyebabkan Shahrizat hilang jawatan sebagai Menteri Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat pada akhir Mac 2012 oleh kerana Najib tidak memperbaharui jawatan senatornya. Beliau juga tidak bertanding dalam Pilihan Raya 2013 akan tetapi kekal sebagai ketua Wanita Umno.

Tiada ulasan: