Ahad, 7 Julai 2013

Jelaskan Malaysia negara selamat atau sebaliknya: Kit Siang

Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Ketua Polis Negara (KPN) dan Menteri Dalam Negeri menyatakan secara jelas dan jujur tanpa berdolak-dalih samada Malaysia sebuah negara selamat atau sebaliknya.

Beliau berkata, KPN dan Menteri Dalam Negeri tidak sepatutnya menyatakan Malaysia sebuah negara yang selamat dan kadar jenayahnya berkurangan sebanyak 26.8% sejak pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 2009 serta tergolong sebagai sebuah daripada negara paling aman di Asia Tenggara menurut Peace Index.

Katanya, bukannya secara tiba-tiba mengaitkan peningkatan kejadian jenayah ganas kerana penghapusan Ordinan Darurat (EO) pada 2011 yang membawa kepada pembebasan hampir 2,000 orang yang disyaki penjenayah tegar.

“Jika pembebasan 2,000 orang yang disyaki sebagai penjenayah tegar disebabkan penghapusan EO pada September 2011 membawa kepada peningkatan kadar jenayah, mengapa perkara itu tidak terlihat pada perangkaan jenayah polis tetapi sebaliknya polis mendakwa secara umum kadar jenayah jalanan dan indeks jenayah berkurangan masing-masing sebanyak 41.3% dan 7.6% pada 2012 berbanding 2011.

“Atau apakah ketua sindiket jenayah ganas dan terancang tiba-tiba menjadi lebih giat setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan “perang menentang jenayah” sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu menyebabkan kadar jenayah dan kebimbangan orang ramai meningkat sehingga buat kali pertama rakyat Malaysia merasa tidak selamat untuk makan di luar rumah berikutan beberapa kejadian rompakan bersenjata ke atas pemilik dan pelanggan gerai mamak dan restoran,” katanya dalam kenyataan, semalam.

 Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tidak sampai setahun lalu, Menteri Dalam Negeri sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersungguh-sungguh menafikan peningkatan kadar jenayah adalah disebabkan pembebasan tahanan EO.

 “Walaupun media melaporkan bekas banduan terbabit dalam jenayah, bagi saya angkanya tidak berada pada tahap membimbangkan

 “Apakah Hishammuddin menyatakan perkara yang benar Julai tahun lalu atau beliau memperdayakan rakyat Malaysia bahawa orang ramai diyakinkan bahawa polis mengawasi 1,473 tahanan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad yang dibebaskan bagi membantu mereka mencari pekerjaan dan memastikan mereka tidak kembali kepada kebiasaan yang buruk,” katanya.

 Menurut Kit Siang, apakah natijah program itu atau hanya cakap-cakap kosong yang tidak pernah dilaksanakan polis di semua negeri dalam negara ini. Katanya, jika polis mahukan kerjasama penuh dalam perang menentang jenayah, ia perlu memberi keyakinan kepada orang ramai dan berkongsi maklumat dengan mereka.-Roketkini.com

Tiada ulasan: