Ahad, 7 Julai 2013

Perihal UMNO/BN yang tidak ada ‘telinga’



Oleh Aliff Fikri

TELINGA adalah alat yang sememangnya cukup penting untuk mendengar. Seorang rakan yang belajar dalam bidang kedoktoran pernah mengatakan bahawa mengikut kalimat daripada doktor pakar telinga Perancis, pendengaran manusia berkembang hanya 12 minggu setelah terjadinya pembiakan.

 Pendengaran merupakan indera pertama manusia yang berfungsi dan terakhir sebelum tubuh kita mati. Sebagai seorang yang menuju kedewasaan, kita mampu mendengar melalui seluruh tubuh kita. Kita mampu merasakan suara menjalar di permukaan otot, tulang dan kulit kita. Evelyn Elizabeth Ann Glennie, pemain percussion terkenal United Kingdom yang pernah berkoloborasi dengan Bjork pula mampu mendengar tanpa menggunakan telinganya sama sekali.

Banyak bukti keilmuan menunjukkan betapa unggulnya indera pendengaran manusia berbanding penglihatan. Mendengar merupakan cara utama manusia untuk merasakan aliran waktu sejak masa lalu hingga masa depan. Namun, manusia kini mula hilang kemampuan pendengarannya apabila semakin banyak mata yang digunakan berbanding pendengaran.

Kita barangkali secara tidak sedar, memiliki kemampuan mengenal pola suara. Kita masih mampu berbicara dengan seseorang di tengah majlis keramaian, konsert, gig serta ceramah paling riuh dengan gegak gempita laungan manusia. Kita mampu memisahkan antara kebisingan dan tanda suara yang diucapkan kawan kita. Kita memiliki kemampuan untuk menyaring satu suara daripada rimbunan suara lain. Kita pernah memiliki kemampuan berdiam cukup lama untuk menikmati indahnya suara yang mendekati tingkap rumah kita pada pagi dan malam hari. Sekarang, kebisingan merupakan musuh ketat kita.

Apa yang menyebabkan kita kehilangan kemampuan mendengar? Pertama, teknologi telah menemukan cara untuk merakam. Bermula daripada tulisan, rakaman audio, hingga video.

Kedua, dunia menjadi semakin bising. Mendengar kini menjadi pekerjaan yang amat memenatkan. Sebuah kajian dari luar negara menunjukkan bahawa kebisingan di kota besar termasuk Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar lain di seluruh dunia meningkat dua kali ganda setiap tahun.

Ia menyebabkan kebanyakan manusia bergantung kepada ‘headphone’ akibat daripada situasi kebisingan melampau ini. Akhirnya alat yang kita panggil ‘headphone’ ini kemudiannya membuat manusia semakin tidak mendengar antara satu sama lain. Setiap orang akhirnya hidup dalam gelombang suaranya sendiri.


 
Ketiga, manusia kini menjadi semakin tidak sabar. Kita tidak tahan mendengar pidato berjela-jela tanpa topik atau fokus yang jelas. Orang yang pergi ke acara bacaan puisi dan persembahan muzik pula datang hanya untuk menonton, mengambil gambar untuk dimuat naik ke laman sosial, bukan mendengar. Media pula berteriak dengan berita provokatif dan sensasi, seolah-olah itu satu-satunya cara yang mereka mampu lakukan untuk menarik perhatian.

Kini kita hanya boleh mendengar kata-kata kita sendiri. Semakin sedikit orang yang menaruh perhatian pada kesunyian, kelembutan suara, atau bisikan. Lama-kelamaan kita menjadi semakin tidak peka, semakin tidak manusiawi.

Kekuasaan tanpa batasan, dalam pelbagai bentuk seperti yang diamalkan pimpinan nasionalis Melayu palsu iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga merupakan penyebab seseorang itu hilang kemampuan mendengar. Penguasa bernama UMNO/BN di negara ini merupakan contoh terbaik dalam fenomena masalah pendengaran ini.

Kelompok ini tidak belajar daripada fakta yang ditunjukkan dengan sangat jelas oleh sejarah. 30 tahun terakhir ini, banyak rejim diktator yang mengamalkan cara sama ‘tanpa telinga’ tidak mahu mendengar tumbang satu persatu. Mereka melakukan pelbagai upaya untuk didengari tanpa mahu mendengar. Bagi mereka, pekerjaan tersulit adalah mendengar keluhan rakyat. Bagaimanapun mereka mahu rakyat mendengar apa yang mereka luah dn bohongkan.

Sebagai warga negara yang baik, tugas kita bukannya memilih pemimpin yang tidak mahu dan tidak mampu mendengar. Kita harus ingat bahawa selain puji-pujian, satu-satunya yang mereka ingin dengarkan daripada kita adalah suara yang kita serahkan atas nama mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Penguasa semestinya tahu bahawa kehilangan pendengaran bukan masalah besar. Koklea yang tidak difungsikan adalah jalan pintas menuju pembodohan. Mendengar adalah akses utama manusia untuk saling memahami. Dunia di mana manusia tidak saling mendengar adalah tempat yang amat menyeramkan untuk didiami.

Berbicara mengenai perihal ‘tanpa telinga’ ini, baru-baru ini kita melihat pelbagai contoh betapa tidak punya telinganya UMNO/BN dalam kes seperti kekurangan alat rawatan di Sabah.

Seperti yang disebut Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong bahawa sehingga kini hanya ada satu mesin radioterapi untuk merawat jutaan penduduk di Sabah yang jumlahnya seramai 2.7 juta. Namun tidak ada sebarang tindakan diambil, bukti nyata mereka tidak ada telinga.

Satu lagi contoh ketiadaan telinga ini juga berlaku di Borneo, iaitu di Sarawak. Di mana seorang kanak-kanak lelaki yang bakal menduduki peperiksaan besar dalam sejarah hidupnya bernama Lim Wang Chun dinafikan hak kewarganegaraan dengan tiba-tiba tanpa alasan kukuh daripada kementerian.

Desakan rakyat bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) agar Pengerusi SPR dan timbalannya meletakkan jawatannya juga tidak langsung didengari malah ianya tidak langsung dipandang apatah lagi untuk didengar walaupun pelbagai bukti pendedahan dikemukakan. Ditambah pula dengan isu Jonker Street yang diputar belit dengan alasan yang pada kiraan saya langsung tidak masuk akal.

Contoh bencana ketidakadaan telinga ini mengingatkan saya pada novel bertajuk 1Q84 tulisan Haruki Murakami. Dalam novel itu, Murakami mengatakan bahawa kebanyakan orang di dunia ini tidak bersungguh-sungguh menggunakan kepalanya untuk berfikir dan orang yang tidak berfikir adalah orang yang tidak mahu mendengar suara orang lain.

Untuk melihat dengan pendekatan yang lebih surreal, sebuah tulisan daripada Seno Gumira Ajidarma berjudul Telinga yang dimuat dalam buku cerpen pendek ‘Saksi Mata’, menggambarkan dengan baik mengenai seorang lelaki yang setiap hari mengirim telinga dari medan perang kepada kekasihnya. Namun suatu hari dia tidak lagi mampu menemui telinga dan akhirnya mengirimkan kepala manusia kepada kekasihnya itu.

Bila membaca balik tulisan Seno itu, saya membayangkan lelaki yang setia kepada kekasihnya tadi sebenarnya memotong telinga pemerintah rakus satu persatu. Dia, seperti kita, marah kerana suaranya tidak didengari. -Roketkini.com

Tiada ulasan: