Jumaat, 5 Julai 2013

CCSC berjaya kurangkan kadar jenayah di Chow Kit

THE MALAYSIAN INSIDER

Kewujudan Pusat Rawatan dan Prihatin (CCSC) di bawah seliaan Agensi Antidadah Kebangsaan(AADK), khususnya di Chow Kit, menyaksikan impak positif apabila kadar jenayah di kawasan itu berkurangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sehingga Mac lalu, hanya 236 orang ditahan bagi kes jenayah yang berpunca daripada masalah penagihan dadah di kawasan itu.

"Pusat ini dilihat memberikan kesan positif serta impak cukup besar dalam membasmi masalah sosial dan jenayah di negara ini yang membabitkan penagihan dadah," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra ke CCSC di Chow Kit semalam. Dalam tinjauan sejam itu, beliau turut melawat Rumah Perlindungan Sinar Teratak Afidah yang menempatkan wanita terbabit masalah sosial seperti pekerja seks dan penagihan dadah.

Ahmad Zahid berkata, Yayasan Al-Bukhari bersetuju menyumbang RM5 juta kepada AADK, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu penagih dadah, bekas pekerja seks serta anak gelandangan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Beliau menyeru jabatan kerajaan dan NGO menjalin kerjasama erat dalam membantu kanak-kanak gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dan Chow Kit. Sehingga kini, dilaporkan kira-kira 1,000 kanak-kanak gelandangan hidup di Chow Kit dan dianggarkan 10 hingga 25 peratus daripada jumlah itu terbabit dengan masalah dadah.

Ahmad Zahid berkata, keadaan itu berpunca daripada faktor persekitaran malah 80 peratus daripada kanak-kanak berkenaan adalah anak penagih dadah.

Beliau berkata, Malaysia mendapat pujian pihak badan dunia kerana berjaya merawat serta memulihkan penagih dan dilihat sebagai satu-satunya kerajaan di dunia yang memberi sokongan penuh terhadap usaha membasmi penagihan dadah dalam negara.

Katanya,Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi penghargaan dan pujian terhadap pendekatan 'Pulih dan Prihatin' Malaysia dalam laporan "Good Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response To Drug and HIV/AIDS" yang dikeluarkan awal tahun lalu.

Ahmad Zahid juga mengingatkan pengedar serta pembekal dadah agar menghentikan aktiviti penjualan bahan itu sekali gus terus merosakkan masyarakat. "Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkuat penguatkuasaan undang-undang terutama terhadap jerung besar yang jadi pembekal dadah. Jangan ingat kamu boleh lepas, jadi hentikan segera," katanya.

Beliau berkata KDN akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras jenayah dadah. "Jangan terkejut jika ada pasukan khas ditubuhkan yang bukan daripada Ibu Pejabat Kontinjen Polis atau Ibu Pejabat Polis Daerah, tetapi daripada KDN sendiri," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: