Rabu, 24 Julai 2013

Caj Elektrik Tinggi Bila Guna Meter Elektronik, PKR Minta Kerajaan Siasat


tarif eletrik 01 wong chan

PETALING JAYA  : PKR menggesa Kerajaan Pusat melantik satu badan bebas bagi menyiasat dan mengkaji kadar tarif elektrik masakini ditetapkan Tenaga Nasinal Berhad (TNB) yang dikatakan tinggi dan membebankan pengguna.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, siasatan itu perlu kerana majoriti pengguna sekarang menerima kesannya yang berpunca daripada pemasangan meter elektrik elektronik yang baru menggantikan meter analog lama.

“TNB tidak boleh memberikan alasan dan mesti membenarkan badan bebas dilantik untuk memeriksa dan menguji meter digital ini.

“Kerajaan boleh melantik badan bebas ini, begitu juga Suruhanjaya Tenaga. Ini kerana meter kepunyaan TNB maka kebenaran dari TNB diperlukan bagi membuka meter dan menyiasat.

“Kita juga mahu pihak berkepentingan terlibat termasuk Pakatan Rakyat (PR) dan BN kerana ini adalah isu rakyat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, PR menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai perkara itu yang menyatakan rasa tidak puashati mereka.
wong chan - tarif eletrik 02

Katanya, alasan diberi TNB bahawa bil elektrik tinggi dari meter baru berpunca daripada bacaan meter lama yang tidak tepat adalah tidak munasabah sama sekali.

Berikutan itu, Wong memberitahu, PR menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dan mengetengahkan isu itu yang dianggotai Naib Presidennya, Datuk Chua Jui Meng; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong, Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan beliau sendiri.

“Jawatankuasa ini akan melancarkan satu kempen awam untuk menegaskan kepentingan ketelusan berhubung dengan bil elektrik tinggi.

“Kita juga akan melancarkan laman sesawang minggu depan bagi penglibatan awam dan satu petisyen akan dihantar ke TNB untuk tujuan ini,” katanya yang mendakwa orang ramai menyatakan kesanggupan membayar RM20 bagi kos pemeriksaan untuk mendapatkan bacaan meter yang tepat.

Manakala Chua berkata, tarif elektrik ditanggung rakyat ketika ini begitu tinggi dan satu tindakan segera perlu dilakukan bagi mengatasinya.

“Satu masalah membebankan rakyat, pihak peniaga dan yang lain. Hampir setiap isi rumah mengalaminya dengan kenaikan sampai 100 peratus, 200 peratus atau lebih.

“Jawatankuasa ini akan membantu rakyat bagi penggurangan kadar tarif elektrik kepada satu kadar yang lebih rendah atau hampir dengan bacaan meter lama,” ujarnya.

Tiada ulasan: