Khamis, 11 Julai 2013

Buka semula siasatan kes beli undi di Bayan Baru

Hazayani Zakaria ,


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa membuka semula fail siasatan berhubung dakwaan pembelian undi di Bayan Baru sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei lalu.

Pakatan Rakyat Pulau Pinang kesal dengan kenyataan pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo bahawa siasatan ke atas kes itu ditutup kerana tiada bukti ditemui.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin (gambar) berkata, kenyataan tidak boleh diterima kerana pihaknya telah menampilkan beberapa bukti jelas berkaitan pembeliaan undi.

"Kita menyeru SPRM membuka fail siasatan semula, cari bukti bersungguh kerana kita telah nyatakan bukti bergambar berhubung dakwaan ini.

"Kita pergi ke tempat tersebut pada 10 hingga 13 Mei dan mendapati memang terdapat acara membeli undi besar-besaran atau lucky bonus.

"Alasan SPRM mereka tak ada bukti memang tak boleh diterima,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat bersedia memberi kerjasama kepada SPRM sekali lagi jika kes itu dibuka semula.

"Jika perlu buat laporan semula, kami bersedia asalkan kes ini disiasat dengan betul," katanya.

Tiada ulasan: