Jumaat, 5 Julai 2013

Anwar: Kejatuhan Morsi sebabkan ‘Arab Spring’ mundur

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengutuk kudeta tentera yang menggulingkan Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi dan mendakwa ia menyebabkan kemunduran kepada “Arab Spring”.

Ketua Pembangkang itu, berkata seluruh negara yang mengamal demokrasi mesti mengutuk tindakan tidak demokratik itu.

“Pemimpin yang dipilih secara demokratik melalui pilihan raya bebas dan adil tidak seharusnya digulingkan sebegitu rupa.
 
“Tidak kira apa pengakhirannya, caranya adalah tidak wajar,” katanya pada kenyataan media lewat petang ini.

PAS hari ini mengutuk penggulingan Mohamed Morsi dan mengecam tindakan tentera negara itu menggunakan golongan ulama bagi menghalalkan perbuatan mereka.

Menurut Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kudeta dan diktator bukan lagi pilihan manusia lagi dalam era sekarang.

“Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam,” kata Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataannya pagi ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Abdul Fattah El-Sisi dalam pengumumannya awal pagi ini turut menamakan Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Adly Mansour sebagai presiden sementara sehingga pilihan raya baru diadakan.

Menurut Abdul Fatah, Mesir akan ditadbir sebuah kerajaan Teknokrat dengan kuasa penuh sepanjang tempoh peralihan.

Serentak itu, larangan perjalanan dikenakan terhadap Mohamed Morsi dan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin termasuk ketuanya Mohammed Badie dan timbalannya Khairat El Shater.

Pengumuman yang dibuat secara langsung melalui televisyen disambut dengan sorakan kumpulan anti presiden yang baru berkuasa selama setahun itu.
Mohamed Morsi mula memimpin Mesir selepas Hosni Mubarak digulingkan pada Februari 2011 selepas berkuasa selama 30 tahun dalam demonstrasi besar-besaran yang digelar "Arab Spring".

Tiada ulasan: