Jumaat, 1 Jun 2012

Umno Wilayah Persekutuan yakin rampas empat kerusi Parlimen

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Umno Wilayah Persekutuan yakin dapat memenangi semula empat kerusi Parlimen daripada parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang ekoran trend pengundi di bandar raya yang kini mula memberi sokongan terhadap Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata berdasarkan perubahan senario politik semasa dan kecemerlangan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan kekalahan BN bagi kerusi Parlimen Batu, Titiwangsa, Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak kepada pembangkang tidak akan berulang.

"Kita sudah lihat ada perubahan... tsunami politik akan berlaku di mana BN akan merampas semula empat kerusi itu kerana warga kota telah mula beralih arah kepada BN setelah mereka kecewa dengan pelbagai janji kosong  pembangkang," katanya dalam blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com.

Daripada 13 kerusi Parlimen, BN hanya menang tiga kerusi, iaitu Putrajaya, Setiawangsa dan Labuan pada pilihan raya umum 2008.   

Mengenai soal calon, Syed Ali berkata kepimpinan parti di setiap bahagian menaruh kepercayaan dan keyakinan kepada Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Tan Sri Muhyiddin Yassin  berhubung pemilihan calon yang bakal bertanding pada PRU ke-13 nanti.

"Pada hemat saya, soal siapa calon bukan isu besar, sebaliknya kita di Wilayah Persekutuan terus bekerja keras bagi memastikan Umno serta BN kembali cemerlang," kata Syed Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras.

Beliau berkata apa yang pasti calon yang dipilih nanti berkeupayaan memberi kemenangan kepada BN.

Katanya populariti seseorang individu itu bukan jaminan untuk terpilih sebagai calon Perdana Menteri sudah memberi peringatan hanya calon yang boleh menang yang akan tersenarai.

"Oleh sebab itu, semua pihak khususnya kepimpinan parti di peringkat bahagian perlu ikhlas dan bertanggungjawab untuk membawa kemenangan kepada BN," tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata jentera pilihan raya Umno serta BN Wilayah Persekutuan sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan pembangkang dan hanya menunggu pengumuman mengenai pembubaran Parlimen.

Beliau berkata jentera parti termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di setiap bahagian sudah diarah meningkatkan persiapan termasuk keberkesanan bilik gerakan. -- Bernama

Tiada ulasan: