Selasa, 5 Jun 2012

Tiada pilihan lain kecuali UBAH untuk kebaikan kita bersama

Roketkini.com
IPOH, 4 JUN: Rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama perlu bersatu hati untuk ubah kerajaan dalam pilihan raya umum yang akan datang bagi membersihkan negara daripada amalan korup, ganas dan zalim yang telah menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan sejak beberapa dekad lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, rakyat perlu bergerak bersama dalam satu suara perpaduan untuk menghapuskan wajah hodoh rusuhan 13 Mei yang digunakan sebagai satu senjata untuk menanam perasaan takut dan untuk menimbulkan rasa gentar kepada para pengundi.

Katanya, rakyat juga perlu memecahkan hegemoni politik UMNO-BN yang telah membenarkan golongan elit dan kroni mereka mengeksploitasikan rakyat semua kaum untuk kepentingan agenda politik dan ekonomi mereka sendiri.

Menurutnya, rakyat juga mesti berani menghentikan politik perkauman yang diamalkan UMNO-BN yang menggunakan kaedah “pecah dan perintah” di mana selama ini masyarakat masih hidup dengan rasa was-was antara satu sama lain.

“Dalam PRU ke-13 ini, rakyat Malaysia mestilah bersatu padu dengan Pakatan Rakyat untuk menunjukkan yang rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kawasan mampu bersepakat di bawah payung satu gabungan politik untuk mengakhiri rasuah, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk penindasan, ketidakadilan dan penganiayaan.

“Dan paling penting, untuk menyelamatkan demokrasi di Malaysia agar sistem dua gabungan parti akan wujud di Malaysia – satu keperluan penting sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara yang benar- benar demokratik,” katanya sewaktu melancarkan jentera PRU13 DAP Perak di sini kelmarin.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, sikap para pemimpin UMNO-BN seperti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mahu memuat naik kompilasi video Bersih 3.0 dalam laman sesawang Kementerian Dalam Negeri, jelas mempersendakan jaminan kerajaan bahawa mereka serius untuk mengadakan penyiasatan bebas terhadap insiden ganas sewaktu perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Katanya, sikap Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO jelas membuktikan sikap berpihak dan tidak adil kerana siasatan belum pun dimulakan untuk mencari punca kejadian ganas yang mana mangsanya termasuk polis, wartawan, jurugambar dan peserta-peserta BERSIH 3.0 sendiri yang diserang oleh polis.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa semangat 250,000 peserta BERSIH 3.0 perlu dijadikan teladan kerana mereka telah berani bersuara:

* Sebagai rakyat Malaysia patriotik yang cintakan tanahair; dan
* Sebagai pemangkin kepada generasi akan datang untuk memastikan Malaysia akan menjadi lebih baik dan lebih makmur daripada kezaliman, ketidakadilan dan kuku besi UMNO-BN sekarang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: