Polis menahan 37 lelaki termasuk dua warga Singapura yang dipercayai terbabit dalam pertaruhan perjudian Euro 2012 bernilai kira-kira RM16 juta hasil tindakan pihak berkuasa menyekat laman web perjudian tersebut yang berdaftar di luar negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata mereka yang dipercayai terbabit dalam pertaruhan haram itu ditahan dalam 17 serbuan yang dilancarkan sejak 8 Jun sehingga semalam di seluruh negara dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Soga.

Kesemua lelaki terbabit, berumur antara 20 tahun dan 50 tahun, ditahan mengikut Akta Pertaruhan 1953.

Serbuan yang dijalankan termasuklah di kawasan kediaman mewah seperti penthouse, rumah-rumah kediaman dan pusat snooker yang menjadi pusat operasi sindiket itu.

Tangkapan tertinggi yang dilakukan ialah di Selangor iaitu 14 tangkapan diikuti Pulau Pinang (sembilan), Johor (tujuh), Melaka (tiga), Sarawak (dua) dan masing-masing satu tangkapan di Kuala Lumpur dan Pahang, katanya.

Turut dirampas ketika serbuan tersebut ialah wang tunai berjumlah RM14,329.

Menghuraikan kegiatan pertaruhan Euro 2012 itu, Abdul Jalil berkata pengendali perjudian itu mendaftarkan laman web perjudian mereka di negara yang membenarkan judi bola sepak itu seperti di Macau.

"Melalui laman web itu, mereka akan menjemput kaki judi untuk bertaruh menggunakan kad kredit dengan memasukkan wang ke dalam akaun tempatan sebelum wang itu dipindahkan ke akaun perjudian di Macau."

Abdul Jalil berkata nilai pertaruhan pula bermula daripada RM200 hingga RM300 dan ada juga yang meletakkan RM5,000 hingga RM10,000 sebagai wang pertaruhan permulaan.

Beliau berkata pertaruhan haram itu dipercayai akan menjadi lebih rancak dalam tempoh seminggu akan datang menjelang perlawanan suku akhir, separuh akhir hingga perlawanan akhir iaitu pada 1 Julai ini.

Katanya polis percaya sindiket kegiatan itu mempunyai kaitan dengan sindiket sama yang mengendalikan pertaruhan haram dalam Piala Dunia 2010 lepas. Sehingga kini tiada pembabitan VIP dikesan dalam pertaruhan Euro 2012 itu.

Beliau menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia Asia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Polis Antarabangsa (Interpol) bagi memantau aktiviti perjudian secara dalam talian bagi mengekang penularannya secara berterusan.

Katanya pemantauan juga dibuat di restoran-restoran memandangkan lokasi itu menjadi tumpuan bagi menonton perlawanan bola sepak dalam skala kecil-kecilan.-Bernama