Selasa, 26 Jun 2012

Strategi Najib serba tidak menjadi, menikam diri

Oleh zaminc
 
Memang segalanya serba tidak menjadi. Banyak strategi BN menikam diri sendiri. Ada saja yang tidak kena kepada Umno-BN.
Lupa sekejap masalah lembu Shahrizat Jalil, timbul pula pelbagai isu berkaitan projek kerajaan yang dibolot anak-anak menteri dan duta khas bertaraf menteri.

Skandal kes Scorpene dan pembunuhan Altantuya muncul semula, dengan paparan cerita yang lebih panas dan menggemparkan. Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar mengacah Jamil Khir Baharom isu pemindahan wang Tabung Haji, lebih RM300,000, ke dalam akaun Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Reda sebentar kontroversi "wanita pertama" Rosmah Mansor, dengan segala cincin, beg tangan dan gaya hidup mewah (strategis kempen BN sendiri minta media mengendurkan kisahnya), meletup pula gosip tentang bakal menantu dan besan Perdana Menteri.

Rakyat juga masih terngiang-ngiang pendedahan pemandu peribadi seorang artis, yang dikaitkan  dengan skandal seorang menteri kanan, yang juga Naib Presiden Umno. Pembekuan pinjaman PTPTN kepada Unisel membongkar mentaliti bebalisme pemimpin Umno bertaraf menteri sehinggalah Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Dalam masa sama, di samping rantaian cerita sensasi yang tidak berkesudahan itu, isu-isu yang lebih melibatkan kepentingan ramai seperti penggadaian aset orang Melayu dalam Felda melalui FGVH makin menjauhkan Umno daripada penyokong tradisinya selama ini.

Sewaktu Najib Razak rimas dengan pelbagai faktor tolakan kepada Umno, saingan paling digeruninya, PAS pula semakin mendapat tempat dalam masyarakat Melayu.

Hampir semua penganalisis bersepakat bahawa pengundi Melayu menjadi rebutan sengit parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, khususnya Umno dan PAS, sementara masyarakat Tionghua terus diyakini bakal memberikan sokongan lebih besar kepada Pakatan Rakyat.

Secara tiba-tiba, golongan artis yang menghiasi dunia hiburan tanahair berduyun-duyun mendekati PAS. Bermula seorang dua selibriti terkemuka, kini senarainya bertambah panjang dan lebih membanggakan ia bermula dengan kesedaran untuk menghayati Islam sebagai satu cara hidup.

Ya, sejak mengikuti perkembangan PAS sejak akhir 1970-an, saya tidak pernah menjangkakan Parti Islam ini akan mendapat sokongan hebat daripada masyarakat bukan Islam dan juga kelompok artis; mutakhir ini ia menjadi satu fenomena!

Tidak terhenti setakat itu, PAS juga menerima penyertaan bekas pegawai-pegawai kanan kerajaan, daripada Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan terbaru, Timbalan Menteri Pelajaran dari Sarawak.

Daripada demonstrasi Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau ke Putrajaya di Stadium Darul Aman, Alor Setar, saya saksikan gelombang kesedaran politik anak-anak muda begitu luar biasa.

Minggu lepas, semasa menghampiri lokasi Himpunan 10,000 Pesawah di Masjid Tinggi, Bagan Serai, Perak, saya lihat konvoi anak-anak muda bermotosikal, yang menunggu kehadiran Tok Guru Nik Abd Aziz, cukup bersemangat sekali, dengan jumlah yang begitu ramai. Wajah mereka memancarkan keyakinan tinggi untuk melakukan perubahan besar dalam PRU13.

Khamis lalu, semasa menziarahinya, Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din menceritakan, dalam perjalanan pulang ke tanahair selepas menjalani pembedahan jantung di California, Amerika Syarikat, beliau secara kebetulan, bertemu ahli-ahli sukan negara di Dubai,  dari kalangan anak-anak muda, yang begitu teruja dan gembira dapat bersua muka dengannya.

Sementara itu, dilaporkan, selepas Najib cuba memperagakan diri dengan pelbagai bentuk transformasi (yang sebahagian besarnya langsung tidak dipedulikan rakyat, malah oleh ahli-ahli Umno sendiri), popularitinya terus merosot. Harus diingat, sebelum PRU12, populariti Abdullah Ahmad Badawi berada pada tahap lebih tinggi berbanding Najib sekarang.

Bermacam-macam insentif one-off dicurahkan, sehingga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun mungkin akan diberikan untuk pusingan kedua, namun reaksi rakyat terus membimbangkan Najib. Bajet 2012 mungkin gula-gula terakhir sebelum membuka gelanggang tempur PRU13.

Saya selalu membayangkan situasi paling buruk bakal dihadapi pembangkang, berdasarkan kemungkinan pelbagai taktik dan strategi jahat Umno-BN dalam pilihan raya, namun kali ini, saya lebih yakin dengan potensi Pakatan.

Jika dapat dielak melakukan kesilapan dan menghindari kealpaan, serta tidak memecahkan benteng kekuatan sendiri, laluan ke Putrajaya sukar disekat lagi, insya-Allah.

Tiada ulasan: