Dalam kejadian jam 9.28 pagi itu, Mohd Imran Hanafi, 19, patah paha kanan dan tulang rusuk, manakala pemandu Toyota Avanza, Teong Chay Lin, 22, turut cedera dan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.
Pada masa sama, empat rakan mangsa yang turut berada dalam kereta jenis Perodua Viva tersebut hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.
“Dipercayai Avanza berkenaan dari arah Simpang Pulai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya, namun gagal lalu merempuh Perodua Viva menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk di bahagian hadapan.
“Kedua-dua mereka masih mendapatkan rawatan di HRPB dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat simpang Pulai, Mohd Yusof Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.28 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Sebaik sahaja tiba, kami dapati mangsa tersepit di bahagian pemandu dan anggota kita terpaksa menggunakan ‘spreader’ bagi mengeluarkan mangsa yang mengambil masa kira-kira 20 minit,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan