Rabu, 13 Jun 2012

Siapa Berdusta? Dulu Kata BERSIH 3.0 Haram Sekarang Tidak?


Fatwa haramkan BERSIH 3.0 tak pernah dikeluarkan

KELAB GREENBOC

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung pengharaman demonstrasi jalanan di ibu negara pada 28 April lepas sepertimana yang didakwa parti pembangkang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mashitah Ibrahim.

Katanya, jawatankuasa itu sebaliknya hanya mengeluarkan kenyataan media sebagai nasihat daripada anggota muzakarah jawatankuasa berkenaan yang bersidang awal bulan lepas.

"Perkara ini telah dipersetujui oleh semua ahli muzakarah supaya nasihat mengenai penglibatan umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan yang telah membawa kerosakan dan musibah kepada negara dikeluarkan melalui satu kenyataan media," katanya.

Mashitah berkata demikian ketika menjawab ucapan penangguhan oleh Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) mengenai fatwa pengharaman perhimpunan jalanan yang didakwa dikeluarkan oleh jawatankuasa berkenaan.

Menjelas lanjut Mashitah turut menegaskan bahawa anggota jawatankuasa itu yang dilantik atas perkenan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai sebarang kepentingan politik melainkan untuk kepentingan agama dan ummah.

"Oleh itu nasihat jawatankuasa fatwa adalah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak dan tidak terikat dengan kepentingan individu mahupun mana-mana organisasi," katanya.

Mashitah berkata antara isi kandungan kenyataan media itu menyebut anggota muzakarah memandang serius tindakan sebahagian masyarakat, khususnya umat Islam yang bertindak sebagai perusuh jalanan seperti mana yang berlaku pada demonstrasi itu yang telah membawa kerosakan dan musibah kepada negara.

"Sebagai umat Islam seharusnya kita mensyukuri keamanan, kemakmuran dan perpaduan yang telah dinikmati dan diwarisi sekian lama.

"Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah yang menjadi tunjang pegangan kita sebagai umat Islam di Malaysia sejak sekian lama wajib kita pertahan daripada apa jua anasir negatif kerana pegangan inilah yang menjadi perisai kepada umat Islam daripada terjebak dengan perlakuan yang dimurkai oleh Allah dan rasulnya," katanya.

Mashitah berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa perlu menggadai keamanan negara.

Justeru, mereka yang terlibat di dalam demonstrasi itu khususnya umat Islam perlu sedar dan insaf bahawa perbuatan itu bukan ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya secara tidak hak mengancam nyawa sesama manusia, menimbulkan huru hara dan merosakkan negara demi mencapai sesuatu agenda, katanya.

Persidangan Dewan disambung esok - Bernama

Demo cetus huru-hara haram, kata j'kuasa fatwa


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas.

"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di Sepang.

Sehubungan itu, katanya umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.

Abdul Shukor berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa menggadaikan keamanan negara.

Beliau berkata turut dibincangkan dalam muzakarah itu adalah gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT) yang tidak memerlukan pengeluaran sebarang fatwa kerana ia jelas haram di sisi Islam.

Selain mengelak daripada terjebak dalam seks songsang seumpama itu, Abdul Shukor berkata umat Islam juga diminta tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang gerakan, sokongan atau kempen mengenai LGBT.

"Untuk orang yang menunjukkan sokongan dan simpati kepada LGBT pun haram juga. Tugas menghapuskan gejala ini adalah tugas semua umat Islam dan jika kita sokong perkara yang tidak baik itu dikatakan bersubahat dan berdosa jawabnya," katanya.

Beliau berkata tindakan menyanjung pemimpin yang menyokong LGBT juga perlu dielakkan kerana Islam sendiri menyenaraikan ciri-ciri pemimpin yang boleh dipilih antaranya bermoral tinggi, patuh ajaran agama, berpengetahuan dan amanah.

Abdul Shukor berkata muzakarah turut menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi menyekat gejala seks songsang daripada terus berleluasa.

Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin, individu atau media dinasihat menghentikan sikap suka mendedahkan secara terbuka perkara-perkara keji yang didakwa dilakukan mana-mana pihak.

"Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi yang berkait dengan hubungan seksual amat ditegah Islam. Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas," katanya. -
Bernama

Demo: Hormati keputusan Majlis Fatwa, kata Jamil Khir

KUALA TERENGGANU - Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan hura-hara perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja dan setiap keputusan dibuat tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

"Majlis fatwa sudah putuskan (haram menyertai demonstrasi yang mencetuskan huru-hara). Jadi, kita serahkan kepada Majlis fatwa kerana ia (jawatankuasa) dilantik oleh raja-raja," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena penganjuran Karnival Al-Hijrah peringkat negeri Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hijrah Media Corporation Bukhari Che Muda.

Dipetik Bernama, Jamil Khir mengulas keputusan muzakarah jawatankuasa berkenaan yang mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undangan-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Jamil Khir berkata beliau juga melihat tindakan pemimpin Pas mempertikaikan keputusan jawatankuasa berkenaan sebagai perkara biasa dalam politik.
-SH

Ulasan GB

Sekejap kata haram sekejap kata tidak.

Bagaimana rakyat hendak menghormati Majlis Fatwa Kebangsaan?

Dan agensi berita nasional, BERNAMA sendiri dahulu melaporkan kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan demo BERSIH 3.0 itu haram, kini agensi berita yang sama menerbitkan kenyataan dari timbalan menteri di JPM menafikan fatwa pengharaman demo BERSIH itu pernah dikeluarkan.

GB sudah ulas dahulu di SINI. Petikan:

DASAR pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali kerana ada nas yang sah dan tegas dari syari' (yang berwenang membuat hukum itu sendiri, iaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah --misalnya kerana ada sebahagian Hadis lemah-- atau tidak ada nas yang tegas (sharih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu mubah.

Sepatutnya fatwa itu berbunyi, haram bagi sesiapa "mencetuskan huru-hara dalam demo", bukannya "demo cetus huru-hara haram".

Kerana, tiada siapa tahu demo yang mana bakal ada huru-hara, demo yang mana tiada huru-hara.

Sama seperti demo BERSIH tempohari. Demo tersebut telah berlansung aman sehingga ada pihak yang telah sengaja mencetuskan huru-hara di saat demo hampir berakhir.

Jadi bagaimana hendak menghukumkan demo itu haram sedangkan "huru-hara" itu sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu untuk memburukkannya?

Kalau begitulah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, maka demo untuk memperingati UMNO pada 11 Mei nanti juga adalah haram kerana ia mungkin saja boleh mencetuskan huru-hara?

Kita berharap Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak adil dan saksama, fatwa yang hendak dikeluarkan perlulah bersandar kepada ilmu bukan bersandar kepada UMNO.

Hukum kebenaran dan keadilan tetap menang akhirnya. Dan siapa yang pendusta tampak nyata!

Tiada ulasan: