Ahad, 3 Jun 2012

Salahuddin gesa PAS tidak disalahkan atas tindakan Nizar


KUALA LUMPUR — PAS menggesa rakyat tidak menyalahkan parti Islam tersebut berhubung insiden antara bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mempertikaikan bidaan no plat WWW1 oleh Sultan Johor.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan Nizar adalah pendapat peribadinya dan tidak melibatkan pandangan parti.

"Biarlah undang-undang yang mengambil tempat dalam perkara itu.
"Tiada siapa pun yang berhak menghukum selain undang-undang," katanya dipetik Sinar Harian Online.

Nizar sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila mempertikaikan bidaan bagi nombor plat tersebut yang bernilai RM520,000 di laman Twitter miliknya.

Kenyataannya itu telah mengakibatkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim membalasnya mengatakan kesultanan Johor tidak pernah menggunakan satu sen wang rakyat, sebaliknya, dana yang diberikan kerajaan dimasukkan ke dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim untuk membantu rakyat di negeri tersebut.

Malah, baginda turut memberi amaran supaya Nizar melakukan "kajian sebelum membuka mulut."

PAS jelas Salahuddin (gambar) menegaskan mempunyai dasar yang jelas dalam menghormati institusi raja di negara ini.

"PAS berpegang teguh kepada perkara ini dan terus memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu di negara ini," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hamd Zahid Hamidi mencabar PAS supaya mengambil tindakan tegas terhadap Nizar berhubung perkara tersebut.

Zahid berkata, adalah memalukan jika parti itu tidak mengambil tindakan terhadap Nizar dan ia menggambarkan parti itu 'bersekongkol' dan bersetuju mengenai kenyataan pemimpin mereka itu.

"Walaupun (Naib Presiden PAS) Salahuddin (Ayub) dan Ketua Pemuda PAS Nasrudin (Hassan) seolah-olah mahu lari daripada terlibat sama dalam masalah Nizar tetapi mereka harus ikhlas mencadangkan kepada kepimpinan PAS supaya mengambil tindakan terhadapnya," katanya.

Beliau berkata, PAS boleh mengenakan tindakan supaya Nizar tidak dibenar bertanding dalam pilihan raya kerana jika ada jawatan, banyak lagi kerosakan imej terhadap parti yang boleh dilakukan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Zahid juga menambah, Nizar telah lupa bahawa bidaan bernilai RM520,000 atas nombor plat oleh Sultan Johor itu akan disalur kepada rakyat.

"Baginda mengeluarkan duit peribadinya, itu merupakan duit pendapatan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan akan pergi ke akaun yang disatukan di bawah Kementerian Kewangan dan wang itu akan disalurkan untuk rakyat, bukan baginda menggunakan duit rakyat untuk kepentingan peribadinya, yang ini Nizar lupa," katanya lagi.

JPJ melalui laman webnya telah mengeluarkan senarai nama pembida kepada nombor plat WWW dan “DYMM Sultan Ibrahim Johor” telah dinyatakan sebagai pembida yang berjaya membuat bidaan tertinggi mengatasi 9,998 pembida yang lain.

Tiada ulasan: