Sabtu, 23 Jun 2012

Runtuh patut buka mata rakyat Terengganu

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: Insiden bangunan runtuh berulang-kali di Terengganu diharap dapat membuka mata rakyat negeri itu untuk me'runtuh'kan BN Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, berkata kes terbaru membabitkan bangunan astaka di Jertih, yang masih dalam pembinaan itu amat dikesali dan memerlukan tindakan lanjut dari kerajaan negeri.

"Sudah sampai masanya BN diruntuhkan di Terengganu ini.  Banyak projek-projek yang dijalankan menghadapi masalah seumpama ini.  Kita harapkan rakyat sedar keadaan ini," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengatakan insiden ini mungkin sebagai satu petunjuk daripada Allah terhadap kepimpinan BN Terengganu yang sebelum ini bertindak meruntuhkan beberapa bangunan rakyat.

"Sebelum ini, pada tahun 1991, Menteri Besar Terengganu ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar bertindak merobohkan sekolah swasta, Institut Berakan, pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh, Masjid Bujal, Kemaman dirobohkan, dan beberapa siri perobohan membabitkan rumah rakyat.  Mungkin insiden kali ini petunjuk dari Allah," tegas beliau lagi.

Dalam kejadian semalam, sekitar jam 2.15 petang, bangunan astaka (gambar atas) yang masih dalam pembinaan, yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Jertih itu tiba-tiba runtuh.

Kejadian itu menyebabkan enam pekerja warga asing terperangkap dan cedera.

Mangsa pertama hanya berjaya dikeluarkan tiga jam selepas binaan tersebut runtuh memandangkan sebahagian tubuh mereka iaitu dari paras pinggang ke bawah tertimbus dalam timbunan simen yang semakin mengeras.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Tiada ulasan: