Oleh Safar Jumaat
Untuk percaya, sukar tetapi sama-samalah kita tengok. Apakah janji Menteri Penerangan, Komunikasi Kebudayaan dan Warisan, Dato' Seri Dr Rais Yatim untuk memberi peluang kepada pembangkang mendapat ruang menyampaikan manifesto dalam PRU-13 menjadi kenyataan atau sebaliknya.
Dari segi logik akalnya, ia mustahil berlaku kecuali satu slot
"sekadar mahu melepaskan batuk di tangga" bagi menunjukkan kepada
rakyat bahawa media yang dikawal kerajaan bersikap terbuka kepada
pembangkang, sebagai membuktikan telah berlaku trasformasi media dan
politik, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun
Razak.
Hari ini, tonton sahaja "siaran langsung" dari Parlimen setiap hari
berlakunya persidangan Parlimen, sering ucapan pembangkang "disenyapkan"
tetapi kalau jawapan menteri atau timbalan menteri yang membelasah
pembangkang, ia disiarkan sercara terus dan berulang-ulang. Lebih
malang, slot sejam untuk siaran Parlimen itu, diganggu dengan
"perbualan bersama Ahli Parlimen" yang topiknya, bertujuan
memperendah-rendahkan pembangkang. Tetamu undangannya, 10 kali wakil BN
dan sekali wakil pembangkang.
Apa sebenarnya yang Rais hendak sampaikan kepada umum, mengenai sikap
keterbukaannya itu? Apakah beliau tidak pernah dan tidak berpengalaman
menjadi pembangkang yang menyebabkan beliau terlalu alergik dengan
pasukan oposisi ini? Jika setahun 365 hari media yang dikawal kerajaan
menyerang pembangkang, sebenarnya apalah kesannya jika dalam tempoh
10-14 hari berkempen, pembangkang dibenarkan membentangkan
manifestonya. Dari segi anak jantannya, lebih baik ditolak sahaja
perlawaan dan janji Rais itu kerana sudah pasti, ada jerat yang sedang
dipasang bagi memerangkap pembangkang.
Keterbukaan ini sebenarnya bagi menutup dakwaan bahawa demokrasi di
Malaysia tempang dan hanya dikuasai oleh pihak yang sedang
berkuasa. Hari ini, tiada sudut kerajaan yang dapat ditutup oleh Umno
dan BN. Semua serangan pembangkang menyebabkan pihak yang sedang
memegang kuasa "sesak nafas". Sering timbul perkara yang mereka mahu
sembunyikan tetapi, dunia media dalam keadaan langkit terbuka,
segala-galanya sudah terdedah! Banyak kes yang dikaitkan dengan
pembangkang, media massa pro pemerintah akan menyerang habis-habisan
pihak yang didakwa, hingga ia boleh mempengaruhi perbicaraan dan
keputusan hakim.
Ambil contoh Himpun Bersih 3.0. Apakah tindak-tanduk media elektronik
sekarang ini tidak merupakan satu usaha mengajak rakyat mengatakan
peserta Himpun Bersih 3.0 itu sebagai kasar dan brutal? Apa tujuan
tayangan "adegan-adegan selepas disunting" setiap jam yang sedang
dilakukan sekarang. Ingat! Fitnah yang diulang-ulang akan dianggap
sebagai fakta. Perkara bohong pun, jika diulang-ulang akan dijadikan ia
sebagai sesuatu yang benar. Semua orang tahu, Rais sebagai Ahli
Parlimen Jelebu, sudah sampai ke penghujung karier politiknya. Dalam
Umno sendiri, beliau kalah setiap kali menawarkan diri bertanding
kerusi Naib Presiden. Ia memberi signal, kehadirannya sudah melewati
masa wajar.
Maka, suka atau tidak, Rais kena mengejar populariti yang semakin
meleset. Beliau juga tentunya belum bersedia untuk menjadi "tokoh
Warisan" yang akhirnya disusun gambar-gambarnya dalam Muzium. Maka,
beliau kenalah berbuat sesuatu dengan hasrat "ada peluang lagi"
memperbaharui jangka hayat politiknya. Sebagai ahli politik veteran,
Rais tidak termampu mengejar populariti rakan-rakan sejawatannya yang
lebih muda. Dengan kementerian yang beliau ketuai sekarang mempunyai
pelbagai agensi dan peruntukan yang cukup besar, Rais mahukan peluang
kekal selepas PRU-13 amat berkobar-kobar.
Jadi, salah satu strateginya ialah "mesra pembangkang". Langkah ini,
tentulah tidak mendapat persetujuan rakan-rakan kabinetnya kerana tiada
seorang pun yang menyatakan sokongan secara terbuka hasratnya memberi
peluang akses media kepada pembangkang dalam PRU-13. Malahan, jangan
terkejut, janji dan cadangan Rais itu akan dibatalkan dengan alasan
masalah teknikal kerana Umno dan BN sudah acapkali "menarik sesuatu
kebenaran" secara tiba-tiba. Pakatan Rakyat mestilah menyediakan satu
kertas cadangan kepada kementerian pimpinan Rais ini, bagaimana cara
untuk memenuhi peluang itu, jika ia benar-benar dilaksanakan.
Jangan hanya sekadar mengisi kekosongan dan di waktu yang tidak sesuai.
Ketika mereka menggunakan waktu perdana, sedangkan pihak pembangkang
diberikan ketika "waktu muram" yang tentunya pihak kementerian tahu bila
ketikanya. Pakatan Rakyat jangan hanya menerima apa yang ditawarkan
kecuali selepas mengadakan perbincangan dan kedua-dua pihak bersetuju
dengan kertas cadangan dari pihak yang ditawarkan peluang. Kata orang,
kalau hendak beri, beri betul-betul. Jangan menanam tebu di tepi
bibir. Jangan bercakap ikut sedap mulut tetapi pada hakikatnya, mereka
sendiri serba salah kerana "tak bagi" takut rakyat persoalkan hak
mereka, nak bagi, takut pula mereka kerugian kerana tidak mampu berdepan
dengan kenyataan.
Maklumlah, BN dan Umno menyembunyikan pelbagai isu dan bila Pakatan
Rakyat dibenarkan muncul di kaca TV, mereka nanti tak cukup tanah
melarikan diri kerana tidak mampu menjawab apa yang ditimbulkan. Ambil
contoh dengan janji pembangkang mahu menurunkan harga minyak. Walaupun
ia sukar tetapi ia bukan mustahil. Kita tunggu dan sejauh mana keinginan
ini terlaksana!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan